ARTIKEL

Ahli Dewan Undangan Negeri Ba’kelalan, Baru Bian.

Projek Rangkaian Jalan Sarawak-Sabah wajar terus dipantau, diaudit ketat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pemantauan dan audit ketat terhadap kerja pembinaan wajar dikekalkan agar kontraktor yang dilantik mematuhi keperluan standard pembinaan yang tinggi, khususnya dalam aspek keselamatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Ba’kelalan, Baru Bian, menzahirkan rasa syukur apabila pembinaan perhubungan jalan raya di utara Sarawak, yang menjadi hasrat hati sejak sekian lama, menjadi kenyataan.

Katanya, Projek Rangkaian Jalan Sarawak-Sabah (SSLR) fasa pertama kini 40 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada November 2026.

“Saya difahamkan fasa kedua akan diteruskan dan dijangka mengambil masa lima tahun.

“Saya juga difahamkan bahawa tender telah dihantar dan kontraktor dikenal pasti.

“Akhirnya, penduduk luar bandar di kawasan Ba’kelalan akan dihubungkan dengan jalan yang baik.

“Ini menjadi permulaan kepada transformasi positif, seterusnya meningkatkan potensi pertumbuhan ekonomi, terutamanya dengan sambungan ke ibu negara Indonesia yang baharu di Nusantara.

“Walau bagaimanapun, saya meminta pihak berkuasa mengekalkan program pemantauan dan audit yang ketat terhadap kerja-kerja pembinaan supaya kontraktor yang dilantik mematuhi keperluan standard pembinaan yang tinggi dan khususnya berhubung keselamatan.

“Ini memandangkan jalan tersebut akan menjadi jajaran pertama masuk ke kawasan pedalaman selepas penantian lama oleh penduduk kampung, dan ia mesti dibina dengan betul,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (2025), 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Jelasnya, ia bagi mengelakkan runtuhan jalan seperti yang berlaku secara berkala di Sarawak, yang terbaharu jalan runtuh di Kapit tiga bulan lalu.

Tambah Baru, pengawasan ketat SSLR fasa dua perlu kerana fasa ini memasuki kawasan yang lebih sukar, iaitu berbukit dan curam.

“Asas dan tetulang yang kukuh mesti disediakan, dan sebarang kompromi dalam bahan, proses dan pembinaan mesti dipertanggungjawabkan dan dikenakan hukuman.

“Saya berharap semua pihak yang berkenaan akan menyahut seruan untuk membina jalan selamat yang kukuh buat rakyat di utara Sarawak.

“Dalam pada itu, saya menyeru rakyat untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dan syarikat yang dilantik untuk membina jalan raya, dan tidak menghalang pembinaan,” ujarnya.

Sesungguhnya projek ini, tegasnya, membawa pelbagai manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan.

Ini termasuk dari sudut pelancongan, kerana dengan siapnya SSLR fasa pertama dan kedua kelak, ia akan membawa masuk pelancong ke tanah tinggi Long Semadoh dan Ba’kelalan.

“Terdapat potensi besar bagi pelancongan berkembang pesat, dan saya berharap pihak berkuasa akan menumpukan perhatian dengan menyediakan rakyat untuk tujuan tersebut dengan program merancakkan sektor pelancongan,” tambahnya.

BERITA LAIN

Impian besar Kupang Strike

SABTU depan, Kampung Kupang Hilir di Saratok bakal mencipta satu lagi kenangan tersendiri apabila Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menganjurkan pertandingan memancing yang dinamakan

BERITA TERBARU