Projek RTP Tanjong Datu lancar

LUNDU: Adun Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu berpuas hati dengan pelaksanaan dua projek transformasi luar bandar yang sedang dilaksanakan di Kampung Rayu Iban, Lundu.

Dua projek RTP tersebut ialah membaik pulih dan naik taraf Gereja St. Stephen Kampung Rayu Iban dengan kos sebanyak RM150,000 dari Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) Sarawak.

Manakala, projek kedua ialah naik taraf Balai Raya Kampung Rayu Iban dengan peruntukan berjumlah RM150,000.

Semasa lawatan dan tinjauan itu pada Selasa, beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri yang telah meluluskan peruntukan bagi melaksanakan kedua-dua projek RTP berkenaan.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memastikan setiap masyarakat di luar bandar menikmati kemajuan seperti penduduk yang menetap di bandar.

“Projek RTP yang diusahakan Kerajaan Negeri adalah salah satu inisiatif untuk meningkatkan taraf hidup komuniti di peringkat akar umbi.

“Meskipun projek RTP dilaksanakan secara berfasa, namun ia adalah demi manfaat rakyat di kawasan luar bandar,” jelasnya.

Suara Sarawak