
KUCHING: Proses penamaan calon untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di 31 pusat penamaan calon seluruh negeri berjalan dengan lancar.
Sehingga jam 12 tengah hari, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, tiada kekecohan yang berlaku di pusat penamaan calon.
“Tiada apa-apa kejadian, semua berjalan dengan lancar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Semalam dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Azman berkata, seramai 7,701 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan sepanjang PRU-15.
Katanya, penugasan anggota sepanjang tempoh tersebut dibahagikan kepada beberapa fasa.
Katanya, fasa pertama iaitu hari penamaan calon akan membabitkan penugasan seramai 3,667 pegawai dan anggota.
Sementara katanya, fasa kedua, tempoh berkempen iaitu 5 hingga 18 November membabitkan penugasan seramai 2,979 pegawai dan anggota.
“Fasa ketiga semasa hari mengundi awal pada 15 November, penugasan kita melibatkan 3,417 pegawai dan anggota.
“Pada fasa empat, hari mengundi pada 19 November, kekuatan seramai 7,701 (78.38 peratus) dari keseluruhan kekuatan PDRM Sarawak,” ujarnya.







