ARTIKEL

Proses pendaftaran vaksin juga sebahagian daripada janji temu – Khairy

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Proses pendaftaran sebagai penerima vaksin COVID-19 adalah sebahagian daripada membuat janji temu, demikian menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Beliau menjelaskan demikian melalui mesej Twitter bagi menjawab soalan mengenai alasan perlunya pendaftaran dilakukan bagi mendapatkan akses vaksin COVID-19 yang ditanya oleh seorang pengguna Twitter, Dr Ungku Shahrin @ungshah.

Menurut Khairy, individu yang telah mendaftar akan diberikan maklumat lanjut untuk proses vaksinasi.

“Mereka (individu yang mendaftar), kemudiannya akan diberikan tarikh, waktu dan tempat berdasarkan maklumat yang diberikan. Tempat tinggal mereka misalnya, mungkin tidak sama seperti di dalam alamat IC (kad pengenalan) mereka,” katanya dalam mesej Twitternya semalam.

Dalam satu ciapan lain, Khairy menjelaskan bahawa pendaftaran mendapatkan vaksin COVID-19 perlu dilakukan agar maklumat seseorang individu itu dapat dimasukkan ke dalam sistem pengurusan janji temu.

“Kebanyakan negara, memberikan vaksinasi berdasarkan janji temu. Jika orang ramai datang (tanpa janji temu), ia pasti akan menyebabkan pembaziran masa dan tenaga kerana perlu beratur panjang. Melalui sistem janji temu, ia juga dapat membantu daripada segi logistik vaksin, seperti berapa banyak vaksin yang hendak dihantar ke sesuatu tempat itu,” katanya.

Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mengumumkan bahawa pendaftaran vaksin COVID-19 dijangka dapat dibuka kepada orang ramai bermula Mac depan.

Terdapat lima kaedah orang ramai boleh mendaftar untuk mendapatkan akses vaksin COVID-19.

Ini termasuk melalui aplikasi MySejahtera, pendaftaran melalui laman sesawang JKJAV (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19) yang akan dilancarkan minggu depan, menghubungi talian hotline (nombor ditetapkan kemudian), pendaftaran secara manual di klinik dan hospital awam serta swasta dan bantuan pendaftaran dari kerajaan negeri bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman. — BERNAMA

BERITA LAIN

RM545 juta perkukuh Internet di Sarawak

KUCHING: Sebanyak RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan fasa pertama Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak, melibatkan hampir 350 lokasi di seluruh negeri. Menteri Komunikasi

BERITA TERBARU

Sarawak Tubuh Jawatankuasa Khas Perkasa Start-up dan PMKS

KUCHING: Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyelaras pelibatan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam memperkasa pembangunan perniagaan pemula (start-up) serta perusahaan mikro, kecil