Proses rangka Belanjawan 2022 bermula April – Mustapa

BACHOK: Unit Perancang Ekonomi (EPU) sudah mula menerima senarai cadangan untuk merangka Belanjawan 2022, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata proses seterusnya adalah untuk merangka Belanjawan 2022, bermula April hingga Ogos.

“Peruntukan Belanjawan 2022 kita belum tahu jumlahnya, tetapi EPU sudah terima kebanyakan permohonan daripada kementerian. Mulai April kita akan perhalusinya dan kita jangka pada Ogos akan dimuktamadkan.

“Kemudian kita akan berunding dengan Kementerian Kewangan kerana mereka akan tentukan berapa peruntukan yang dapat dibelanjakan,” katanya selepas Program Malaysia Prihatin di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Bachok, hari ini.

Program anjuran Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama kerajaan Kelantan itu adalah inisiatif untuk memberi penerangan kepada rakyat secara berperingkat mengenai pentingnya pengurusan pandemik COVID-19 ke arah proses pemulihan ekonomi negara.

Turut hadir Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata antara permohonan yang sudah diterima membabitkan peruntukan untuk menambah baik infrastruktur di seluruh negara.

“Kebanyakan proses bermula di EPU untuk kita melihat senarai keutamaan, senarai sudah kita terima. Sudah pasti ia senarai yang panjang, ada yang berkaitan dengan pembinaan balai polis, sekolah, hospital dan jalan raya termasuk membabitkan penyelenggaraan,” katanya. – BERNAMA

Suara Sarawak