KUCHING: Pengurus pasukan e-Sukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Terengganu tidak dibenarkan hadir ke tempat pertandingan Sukan Malaysia (SUKMA) XXI, 2024 susulan provokasi dilakukan terhadap atlet Johor.

Tindakan tersebut telah menyebabkan perlawanan antara Terengganu dan Johor dalam kategori tersebut yang berlangsung pada petang semalam tertunda.
Persekutuan E-Sukan Malaysia (MESF) dalam kenyataan rasmi berkata, pihaknya memandang serius dan mengecam tindakan provokasi seperti ini.
“Pada perlawanan ketiga antara Johor Dan Terengganu dalam kategori MLBB telah berlaku pertengkaran antara dua pasukan tersebut yang berpunca daripada provokasi dimulakan oleh pengurus pasukan Terengganu terhadap salah seorang atlet Johor.
“Sehubungan itu, Ketua Delegat Teknikal e-Sukan telah berbincang bersama pasukan Terengganu dan Johor dengan membuat keputusan memberhentikan perlawanan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut MESF, perkara tersebut telah diselesaikan secara damai antara kedua-dua pasukan dan kemenangan perlawanan ketiga diberikan kepada pasukan Johor.
“MESF menyeru semua pasukan menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dan menghormati antara satu sama lain.
“Diharapkan perkara seperti ini tidak lagi berlaku pada masa akan datang,” tambahnya.
Mengikut skor dan kedudukan, kedua-dua Terengganu dan Johor layak ke playoffs sebagai lapan pasukan teratas, termasuk Sabah, Kelantan, Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang dan Sarawak berentap hari ini.



