BELIAU bukan buta sejarah.
Beliau juga bukan buta perlembagaan, mahupun undang-undang.
Beliau tahu apa yang dituturnya, dan apakah impak dan kesannya kepada semua pihak.
Justeru apabila beliau membuka mulut, mencipta polemik bahawa Sarawak dan Sabah merupakan “beban” kepada Malaysia, ia adalah provokasi yang disengajakan.
Datuk Mohd Zaid Ibrahim bukan nama kecil. Beliau merupakan nama besar dalam bidang yang dikuasainya. Lelaki berusia 74 tahun ini pernah menjawat Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang dan pembaharuan kehakiman.
Beliau juga pernah menjawat Senator Dewan Negara selain menjadi pengasas Zaid Ibrahim & Co., firma guaman swasta terbesar di Malaysia.
Justeru dengan portfolio yang besar ini, tidak mungkin beliau bercakap semberono, tanpa berfikir. Melainkan ada agenda tersendiri — tersurat ataupun tersirat.
Dua minggu lalu, menerusi “The Zaid Ibrahim Podcast”, Zaid memberi pandangan sinis dan tajam tentang dilema Kerajaan Persekutuan dalam kes tuntutan 40 peratus hasil Sabah.
Zaid bertegas bahawa Kerajaan Perpaduan sepatutnya merayu keputusan mahkamah demi kepentingan negara, sambil mendedahkan sejarah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai tidak adil, dan mempersoal pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat lebih berunsur politik berbanding ekonomi.
Beliau yang pernah menyertai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada tahun 2000, sebelum digantung keahlian pada 2 Disember 2008, menambah celopar apabila menyifatkan desakan Sarawak dan Sabah dari segi kewangan adalah sesuatu yang melampau dan boleh menjadikan negara ini bankrap.
Lalu mencadangkan kedua-dua wilayah ini “angkat kaki”, atau dalam erti kata lain, memerdekakan diri.
Kenyataan beliau ini mengundang pelbagai reaksi. Antaranya daripada Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Datuk Fazruddin Abdul Rahman yang melabel Zaid sebagai “penghasut” dan “pencetus permusuhan antara wilayah”.
Fazruddin bercakap dalam konteks yang jelas, memahami sentimen yang cuba dibakar Zaid, yang boleh menggugat dan mengancam keharmonian awam.
Cuba melaga-lagakan Sarawak, Sabah dan Kerajaan Persekutuan. Tetapi Zaid tetap Zaid.
Dengan celopar dan cakap lepasnya, beliau menyifatkan Fazruddin sebagai membesar-besarkan perkara yang kecil.
Malah menganggap tindakan Fazruddin sebagai cuba menanam ketakutan agar Zaid senyap.
Zaid silap apabila memikirkan perkara ini kecil. Ia adalah perkara besar yang disenandungkan oleh Sarawak dan Sabah secara bersama, bersolidariti. Bukan oleh Fazruddin seorang.
Seluruh rakyat di dua negeri ini bersatu bahawa hak mereka selama ini dirampas dan ditindas sejak penubuhan Malaysia.
Fazruddin tidak berseorangan dalam isu ini.
Beliau mungkin muda, hanya genap 50 tahun Disember depan, namun Zaid perlu ingat, kecil bukan disangka anak, besar bukan disangka bapa.
Pemimpin Sarawak dan Sabah berani menuntut hak ini kerana mereka telah memperoleh fakta sebenar yang disembunyikan sekian lama.
Pemimpin kami adalah kalangan mereka berpendidikan, berbanding bapabapa mereka sejak 60 tahun lalu. Jika dahulu, mungkin ada yang “kalah bulu” , namun kini tidak lagi.
Sarawak dan Sabah bukan lagi kecil kerana “suara” mereka semakin besar, dan pegangan politik juga semakin kuat, sehingga menjadi kuasa penentu politik negara — sesuatu yang Zaid tidak selesa. Ini bukan perang Semenanjung dan Sabah Sarawak. Ini adalah sikap individu yang cuba melupakan sejarah negara.
Memikirkan bahawa MA63 itu tidak penting adalah pemikiran kuno, kerana perjanjian yang menjadi surat beranak sebuah negara bernama Malaysia itu sudah menjadi sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan.
Zaid perlu menelan hakikat itu, sebelum memikirkan cadangan agar Sarawak dan Sabah keluar dari Malaysia.
Rakyat seluruhnya perlu memahami kenapa bekas Ahli Parlimen Kota Bharu ini bertindak sedemikian.
Kerana beliau hendak mencari populariti dan kembali menempa nama setelah sekian lama tidak diterima rakyat.
Malah partai politik seluruh Malaysia menolaknya.
Beliau pernah menjadi ahli UMNO, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat dan Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air.
Malah anak kelahiran Kampung Chap, Bachok, Kelantan ini sempat menjadi Pengerusi DAP di Kelantan.
Justeru perbuatan Zaid ini menceritakan apa?
Bahawa beliau terpaksa mencari pelbagai platform untuk bersuara, dan ia sentiasa tidak disenangi ataupun tidak didengari. Justeru untuk apa rakyat memilih untuk mendengar suara yang kini tidak lagi relevan?
Menarik untuk mendengar komen Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak yang bertanggungjawab terhadap undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri Persekutuan, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali ketika menjawab soalan DUN semalam.
Dengan nada lembutnya, Hasidah menjelaskan, kenyataan yang dibuat oleh mana-mana individu mengenai perkara ini hanyalah pendapat peribadi mereka dan tidak mempunyai sebarang nilai perundangan. “
Ia menunjukkan kejahilan mereka terhadap sejarah. Ia juga merupakan satu serangan jelas terhadap integriti perlembagaan Persekutuan kita.
Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kata Hasidah, ialah instrumen asas yang memberi kesan undang-undang kepada pembentukan Persekutuan Malaysia. “
Tanpa MA63, Persekutuan itu sendiri tidak mempunyai asas perlembagaan untuk wujud.
Sebarang cadangan untuk membatalkan atau memansuhkan MA63 adalah tidak berlandaskan perlembagaan.
Berikutan pindaan terkini kepada Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan, MA63 kini menjadi sebahagian penting dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pengiktirafan berkanun ini mengesahkan lagi bahawa hak dan obligasi yang timbul daripada MA63 merupakan sebahagian daripada undang-undang tertinggi Persekutuan dan tidak boleh disingkirkan oleh pendapat peribadi atau retorik politik.
Tindakan dan komen tanpa berfikir ini boleh dianggap menghasut kerana kesannya membawa kepada perpecahan serta mengapi-apikan kebencian dalam kalangan rakyat Malaysia.
“ Ia bertujuan untuk memecahbelahkan rakyat Malaysia dan memfitnah mereka yang bekerja keras memastikan pelaksanaan penuh MA63.
Secara keseluruhannya, MA63 kekal penting, mengikat dan dilindungi oleh perlembagaan, dan Kerajaan Sarawak akan terus memastikan bahawa termaterma perjanjian tersebut dipatuhi. “
Kita harus mengabaikan suara-suara jahat dan bising ini terutamanya daripada pihak-pihak tertentu dan terus berusaha memastikan Malaysia kekal bersatu, harmoni dan kuat kerana Sarawak yang kuat menjadikan Malaysia kuat.”
Fazruddin dan Hasidah sudah menyatakan pendirian Sarawak.
Ahli politik Sabah juga demikian, baik mereka daripada partai politik mana pun, yang kini sedang berkempen hangat dalam pilihan raya.
Kita berharap kerajaan bertindak terhadap perbuatan celopar ini. Banyak sahaja undang-undang yang boleh mengadili Zaid, termasuk Akta Hasutan dan sebagainya. Kerana tindakannya itu bukan berbentuk kebebasan bersuara, tetapi sesuatu yang berniat jahat.
Yang mahu agar kedua-dua wilayah ini memikirkan “pilihan” untuk keluar Malaysia — sesuatu yang tidak wajar diluahkan.
Mungkin laporan polis perlu dilakukan dan tindakan undang-undang perlu dilaksanakan.
Tidak ada istilah Zaid akan kebal undangundang, biar beliau menjadi legenda pun dalam bidang guaman.
Yang penting ungkapan seperti ini tidak berulang dan sewenang-wenangnya dilontar dan dilemparkan.
Jangan kita hanya berani kepada orang biasa, dan ahli politik kecil dalam hal seperti ini.



