KUCHING: Sebanyak 74 peserta daripada 10 institusi pengajian tinggi (IPT) di Sarawak mula berentap dalam Piala Cabaran Debat Premier (PSDC) 2026 yang membuka tirai hari ini menerusi pusingan saringan awal dan suku akhir di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan.
Hari pertama pertandingan turut menyaksikan pelibatan 33 juri daripada pelbagai latar belakang akademik dan profesional, termasuk adjudikator berpengalaman yang bertanggungjawab menilai keupayaan peserta dari aspek penghujahan, pemikiran kritis, penyampaian dan kemahiran berhujah.
Ketua Adjudikator PSDC 2026 Ahmad Badrulhisam Che Kassim berkata kepelbagaian latar belakang barisan juri membolehkan peserta menerima perspektif lebih luas dengan kekuatan dan kelemahan hujah yang diketengahkan.
“Peranan kami sebagai adjudikator bukan sekadar menentukan siapa yang menang atau kalah, tetapi memastikan peserta memahami bagaimana hujah mereka boleh diperkukuh.
“Dengan pelibatan juri daripada pelbagai latar belakang, peserta dapat menerima perspektif yang lebih luas serta membangunkan keupayaan berfikir secara kritis,” katanya.
Jelasnya pertandingan debat seperti PSDC 2026 turut menyediakan ruang kepada golongan muda untuk mengasah kemahiran menganalisis isu, membina hujah yang kukuh serta menyampaikan pandangan secara yakin dan berkesan.
PSDC 2026 dianjurkan oleh Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak bertemakan “Engaging Minds, Advancing Sarawak”, bukan sekadar menjadi medan persaingan, malah platform pembangunan belia dalam membentuk generasi yang mampu berfikir secara kritis dan menyuarakan pandangan secara berhemah.
Pertandingan itu juga memberi peluang kepada peserta untuk terlibat secara konstruktif dalam perbincangan berkaitan isu semasa dan pembangunan Sarawak.
Acara kemuncak PSDC 2026 akan berlangsung menerusi Malam Grand Final pada 18 Ogos, 7 malam di Dewan Jubli, UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan 1, yang bakal menyaksikan pasukan terbaik berentap bagi merebut gelaran juara.






