KOTA SAMARAHAN: Premier of Sarawak Debate Challenge Cup (PSDC) 2026 memasuki kemuncaknya malam ini apabila dua pasukan terbaik berentap pada Grand Final bagi menentukan juara sulung dan pasukan pertama menjulang Piala Premier Sarawak.
Grand Final berlangsung di Dewan Jubli, UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan, selepas kedua-dua finalis melepasi saingan separuh akhir yang berlangsung hari ini.
Pertemuan akhir itu menjadi penentu kepada kejohanan yang bermula dengan 18 pasukan daripada 10 institusi pengajian tinggi di Sarawak, melibatkan seramai 74 pendebat.
Majlis kemuncak malam ini dihadiri Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn, selaku tetamu kehormat mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Pengerusi Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak, Datuk Ismawi Ismuni, turut hadir menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.
Selain menentukan juara dan naib juara, dua pengiktirafan individu utama turut akan diumumkan malam ini iaitu Pendebat Terbaik Keseluruhan (Overall Best Debater) dan Pendebat Terbaik Grand Final (Grand Final Best Debater).
Keseluruhan hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 ditawarkan dalam edisi sulung pertandingan itu, selain Piala Premier Sarawak, piala iringan, pingat dan sijil.
PSDC 2026 membawa pendekatan yang menghubungkan perdebatan mahasiswa dengan isu pembangunan sebenar di Sarawak. Usul pertandingan mengetengahkan persoalan berkaitan ekonomi, pendidikan, teknologi, inovasi, tenaga hijau, pembangunan mampan, pengangkutan, kebajikan dan dasar pembangunan negeri.
PSDC diperkenalkan sebagai platform pembangunan intelektual mahasiswa dengan memberi ruang kepada generasi muda bukan sahaja untuk meningkatkan kemahiran komunikasi, tetapi menilai, membahaskan dan mempertahankan pandangan isu yang mempunyai kaitan dengan pembangunan serta masa depan Sarawak.



