KUCHING: Sebuah apartmen di Jalan Song di sini dipercayai dijadikan pusat panggilan sindiket ‘love scam’ yang beroperasi sepenuh masa bagi memperdaya mangsa dari luar negara.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, kegiatan itu terbongkar selepas polis menyerbu premis berkenaan kira-kira jam 11 malam tadi dan menahan lapan individu.

Katanya, suspek terdiri daripada tiga warga tempatan dan lima warga asing berusia antara 21 hingga 66 tahun.
“Polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan penipuan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Antara barangan dirampas ialah komputer riba, telefon bimbit dan peranti lain yang dipercayai digunakan bagi menjalankan aktiviti ‘love scam’ secara dalam talian.
Alexson berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan secara tidak jujur mendorong seseorang menyerahkan harta.

Jika sabit kesalahan, seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 120B Kanun Keseksaan berkaitan pakatan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya.
“Semua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching hari ini bagi mendapatkan perintah tahanan reman untuk membantu siasatan lanjut.

“Permohonan reman itu diluluskan mahkamah selama empat hari,” jelasnya.
Sementara itu, Alexson menasihatkan orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengetahui sebarang kegiatan jenayah bagi membantu usaha membanterasnya.
Maklumat boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran atau Pusat Kawalan Daerah Kuching di talian 082-244444.







