ARTIKEL

Racckesh Sivanesan.

Racckesh sasar emas Silambam pada SUKMA 2026

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kapten pasukan Silambam Sarawak, Racckesh Sivanesan meletakkan sasaran meraih pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 selepas gagal menempatkan diri dalam kelompok pemenang pada edisi lalu.

Atlet berusia 18 tahun itu berkata, pengalaman beraksi pada SUKMA Sarawak 2024 menjadi pembakar semangat untuk tampil lebih cemerlang pada kejohanan kali ini.

“Pada SUKMA lalu saya tidak berjaya meraih sebarang pingat dan hanya berada dalam kelompok 10 terbaik.

“Tetapi tahun ini saya mahu mengubah keputusan itu dan sasaran saya sudah tentu untuk memenangi pingat emas buat Sarawak,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.

Beliau berkata, beliau akan beraksi dalam kategori Thanithiramai (Seni) acara seni mempertahankan diri tanpa senjata untuk kategori individu lelaki.

Selain itu, beliau turut disenaraikan dalam acara berpasukan Berirama Tanpa Senjata Campuran dan Berirama Dengan Senjata Campuran.

Katanya, meskipun mempelajari seni mempertahankan diri tradisional India itu sejak kecil, perkembangan sukan tersebut di Sarawak sebelum ini agak terhad sebelum ia mula diberi perhatian apabila SUKMA dianjurkan di negeri ini.

“Saya mula berlatih bersama pasukan Silambam Sarawak sejak 2023 dan terus aktif sehingga sekarang sebagai persediaan menghadapi SUKMA 2026,” ujarnya.

Mengulas mengenai kekuatan pasukan, beliau berkata kontinjen Silambam Sarawak dibarisi seramai 18 atlet terdiri daripada sembilan lelaki dan sembilan wanita.

“Pasukan kami turut dibimbing seorang ketua jurulatih, penolong jurulatih dan pengurus pasukan.

“Walaupun kami dianggap pasukan yang masih baharu, saya yakin dengan gabungan atlet berpengalaman dan muka baharu yang ada,” katanya.

Beliau berkata, pasukan Silambam Sarawak dijadual berlepas ke Selangor pada 21 Ogos ini sebelum memulakan saingan dari 23 hingga 24 Ogos dan pulang ke Sarawak pada 25 Ogos.

Dalam pada itu, beliau berharap semua atlet dapat mencapai sasaran masing-masing dan memberikan persembahan terbaik demi mengharumkan nama Sarawak.

“Harapan saya agar seluruh pasukan dapat mencapai sasaran. Apa yang penting, kami turun dengan semangat berpasukan yang tinggi dan berjuang habis-habisan untuk Sarawak,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Politik Semenanjung tidak jejas GPS – Abdul Karim

KUCHING: Pergolakan politik di Semenanjung Malaysia dijangka tidak menjejaskan landskap politik Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13), dengan perpaduan rakyat dan agenda pembangunan