ARTIKEL

Raikan perayaan dalam kepelbagaian

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

APABILA pemimpin tertinggi bersarapan pagi di kedai Cina keluar dalam surat khabar kami, saya kongsikan dengan kawan-kawan dalam kumpulan WhatsApp — mereka sangat teruja membacanya kerana di luar Sarawak, tempat mereka tinggal — berhijrah jarang ada suasana seperti itu.

Namun situasi itu biasa di Sarawak.

Melayu makan di kedai ada gerai halal milik bukan Islam, malah boleh duduk semeja.

Bukan hanya membabitkan pemimpin tertinggi, ternama tetapi rakyatnya sendiri sudah bersatu padu.

Kami tiada masalah untuk duduk sama menjamah makanan di atas meja yang sama kerana kami bangga menjadi contoh terbaik dalam menterjemahkan konsep perpaduan bagi meraikan kepelbagaian etnik.

Contoh ini sentiasa membanggakan, mengajar kami, menyedarkan kami bahawa soal kepelbagaian ini mesti diterjemahkan dalam semua peringkat, terutamanya dalam segmen pendidikan.

Kita bermimpi agar ada satu perkara yang boleh kita berkongsi rasa, bersama-sama percaya bahawa adanya alasan untuk kita lebih bersatu padu. Harapan itu untuk melihat sambutan perayaan kita disuntik dengan semangat kepelbagaian.

Mana-mana perayaan di negeri ini secara jelas memperlihatkan bahawa perayaan kita kini tidak diserikan dengan perpaduan.

Situasi ini sangat berbeza jika dibandingkan dengan sambutan perayaan pada ketika dahulu.

Dari aspek sambutan sama ada di pasar penyediaan juadah perayaan, perang iklan televisyen, dan sambutan perayaan itu sendiri , dahulu sambutan perayaan disuntik dengan elemen perpaduan.

Cuba pergi ke pasar basah di Sibu contohnya, pasar menjual daging tidak halal cuma bersebelahan dengan pasar basah biasa.

Ia dipisahkan oleh dinding tetapi di bawah bumbung yang sama — tanpa ada sebarang isu.

Di Miri, masjid dan gereja bersebelahan. Ini juga pemandangan biasa.

Begitu juga dengan di bandar-bandar atau luar bandar di negeri ini.

Tinggal di bawah bumbung yang sama, namun pelbagai agama sudah menjadi perkara biasa.

Saya sendiri setiap kali Tahun Baharu Cina melihat kakak saya masak pelbagai makanan seperti kari ayam, daging, ikan dan sebagainya untuk menu makan besar untuk keluarga mentuanya.

Jika mentuanya tidak ke rumah mereka, kakak saya dan keluarga akan ke rumah mentuanya sambil membawa masakannya. Jika kebetulan mereka masing-masing sibuk, makan besar akan diadakan di hotel atau di kafeteria luar.

Walaupun lahir dalam keluarga sejati Muslim, kakak saya tetap menyambut Tahun Baharu Cina di rumahnya.

Kami akan bawa anakanak, kawan-kawan juga berkunjung sama seperti musim perayaan kita.

Begitu juga dengan Hari Raya Aidilfitri. Keluarga mentua akan bertandang malah bersama-sama menyambut Aidilfitri malah turut melayan tetamu yang datang.

Di pasar raya, lagu Tahun Baharu Cina, lagu Aidilfitri, lagu Gawai Dayak mahupun lagu Krismas bebas dimainkan pada setiap musim perayaan.

Tiada yang mempertikai lagu siapa yang boleh dan tidak boleh dimainkan.

Begitu dengan letupan mercun malam Tahun Baharu Cina.

Jika tinggal selorong bercampur Cina, Dayak dan Melayu — kami takkan marah dengan bunyi bingit mercun, sama seperti malam perayaan lain.

Beginilah kami di sini menyambut perayaan. Sama seperti tempat makan di luar sana, kami boleh makan di bawah bumbung yang sama.

Contoh mudah, membeli ayam untuk dibuat rendang juga sudah nampak multi etniknya.

Sambutannya menampakkan majmuknya masyarakat Malaysia.

Tahun Baharu Cina menjadi medan rakyat di Sarawak mempromosikan budaya kepada rakan berbeza agama dan budaya dan duduk pelbagai bangsa menikmati juadah bersama.

Lebih menarik, ketika Tahun Baharu Cina atau sambutan Gawai Dayak — tuan rumah akan menghidangkan masakan halal untuk kawan-kawan Muslim.

Mereka mengupah penyedia makanan masak menggunakan pinggan mangkuk pakai buang.

Jadi, kami boleh makan tanpa waswas.

Kami cukup menjaga isu halal haram tanpa menyakitkan hati kawan-kawan bukan Islam, malah tidak pernah mengungkit adakah makanan yang mereka hidang halal.

Hal ini kerana sebelum mengajak ke rumah, kawan-kawan akan menjemput dengan menyebut sekali bahawa menu perayaan halal dan dimasak penyedia makanan luar.

Ketika itu juga, tiada hidangan tidak halal di atas meja mereka. Inilah keistimewaan Sarawak yang mungkin tiada di negeri lain.

Justeru, Sarawak memiliki keunikan dengan rakyat berbilang kaum yang menyambut sesebuah perayaan bersama-sama.

Perayaan seperti Tahun Baharu Cina adalah platform yang baik untuk komuniti berinteraksi antara satu sama lain, mengukuhkan hubungan, memupuk persefahaman yang lebih baik dan saling menghormati.

Tradisi sambutan perayaan pelbagai budaya di negeri ini bukan saja mampu mengeratkan hubungan dan mengukuhkan perpaduan malah mendekatkan hati dan jiwa warganya.

Kita percaya semangat perpaduan dan keharmonian mampu menyemarakkan lagi perpaduan dan kesamarataan Sarawak.

Ini membolehkan kita masyarakat majmuk saling bersatu padu bagi mencapai keharmonian walaupun wujud kepelbagaian latar belakang.

Kepelbagaian inilah menjadi teras perpaduan bukan sahaja bagi masyarakat Sarawak tetapi seluruh rakyat Malaysia.

Perkongsian sambutan perayaan juga kunci utama keharmonian kaum serta kesejahteraan rakyat.

Kita meraikan kepelbagaian kaum dan agama menerusi semangat toleransi dan saling menghormati antara satu sama lain sebagai asas untuk memperkukuhkan kesejahtreraan.

Jadi kita pelihara apa-apa yang kita ada terutamanya penduduk negeri ini apabila Sarawak sering kali dijadikan contoh negeri perpaduan sama ada politik, sosial dan warganya.

Kepelbagaian di negeri ini wajar terus dipelihara bagi menjamin keamanan, kemakmuran dan perpaduan.

Rakyat harus fokus pelbagai aspek kesejahteraan yang sudah tentu memerlukan sokongan berterusan rakyat di negeri ini

Kita perlu menghargai setiap keunikan dan tradisi masingmasing tanpa mengabaikan nilai perpaduan yang membawa kita hidup dalam keharmonian — kita boleh mencipta masyarakat lebih bersatu padu dan sejahtera pada masa akan datang.

Konsep rumah terbuka menerima tetamu bagi semua perayaan di negeri ini harus dikekalkan dalam mengekalkan Sarawak yang stabil, harmoni dan makmur kerana tiada halangan bagi Aminah untuk beraya Cina di rumah Ah Seng! Itulah yang Sarawak banggakan.

Selamat Tahun Baharu Cina 2024. 

LAIN-LAIN BERITA

Jaga adab di jalan raya

TIDAK kira hujan atau panas, kebanyakan lelaki lebih gemar menunggang motosikal untuk ke tempat bekerja. Walaupun terpaksa menggunakan baju hujan, motosikal tetap pilihan utama mencari

Kisah Prabowo panglima terbuang

BERDASARKAN hitung pantas, Prabowo Subianto sudah hampir pasti akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Republik Indonesia ketujuh pada Oktober depan. Kiraan pantas dan tidak rasmi tersebut

Selidik pemungut derma

MENURUT pprm.dbp.gov. my derma ialah pemberian yang ikhlas berupa wang dan lain-lain kepada orang miskin; dan juga bantuan wang kapada kumpulan (yayasan dan lain-lain). Mudah

Kematian semakin dekat

KEMATIAN, sebagai satusatunya kepastian dalam kehidupan manusia, menghantui fikiran manusia sejak awal zaman.  Kehidupan pasti diakhiri dengan kematian sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah

Presiden kelapan bulan sepuluh

KIRAAN cepat (quick count) sejumlah badan bebas berkaitan Pemilihan Presiden (Pilpres) Indonesia 2024 pada Sabtu, 17 Februari, menunjukkan pasangan PrabowoGibran unggul teratas. Mereka meraih 58.48

Bahaya bah betina

SEKALI air bah, sekali pantai berubah. Sekali banjir melanda, air masuk rumah, keseluruhan isi di dalam rumah berubah. Banjir suatu fenomena alam yang sentiasa melanda

BERITA TERBARU