ARTIKEL

Gambar Hiasan

Raja buah datang lagi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DURIAN bukan sekadar pemegang takhta raja buah, tetapi juga raja bau.

Oleh itu musim durian adalah berita kurang baik bagi mereka yang tidak menggemari si duri tajam ini.

Bau yang kuat, menyengat dan melekat menyebabkan ada yang tidak senang duduk, lebih-lebih lagi ketika berada di dalam kereta bersama-sama orang yang selepas makan buah ini.

Aromanya begitu mudah tersebar, terutama ketika berada di dalam rumah, pejabat atau bilik hotel.

Oleh itu buah pelbagai spesies dan gred ini dilarang sama sekali untuk dibawa masuk ke hotel atau pejabat.

Bagi penggemar, elakkan makan durian sebelum penerbangan, atau solat di masjid mahupun surau, kerana ia boleh mengganggu jemaah lain.

Namun pelbagai petua daripada orang tua-tua, untuk mengurangkan bau.

Antaranya, minum air suam dengan menggunakan sulur kulit durian atau membasuh tangan di dalam sulur.

Bagi mengurangkan bau di dalam kereta, letakkan arang atau roti paun kerana ia boleh menyerap bau dengan cepat.

Ada juga yang mengesyorkan puting durian diletakkan dekat pendingin hawa di dalam kereta.

Yang pasti, cara terbaik untuk menghilangkan baunya ialah tidak meletakkan durian di dalam kereta.

Sejak dua minggu kebelakangan ini, durian datang lagi di beberapa bahagian di negeri ini, namun harganya masih melonjak.

Minggu lepas saya balik kampung dan sempat menikmatinya pada harga RM25 sebiji.

Paling murah RM15 sebiji, tetapi agak kecil.

Bagi ‘hantu durian’ inilah musim yang ditunggu-tunggu

. Bagi penggemar tegar, harga adalah perkara kedua… janji isi lunak dan memuaskan.

Sekarang ini agak sukar untuk tawar-menawar, kerana pengeluarannya masih terhad.

Malah kerja mengutip buah bukannya mudah.

Saya pernah tiga kali mengikut pemilik durian ke dusun. Ia mengambil masa empat hingga lima jam berjalan kaki dan menaiki bot, bergantung kepada lokasi dusun dan cuaca.

Kami meredah hutan belantara sebelum tiba di dusun, cuaca baik memudahkan perjalanan.

Sangat menyeronokkan apabila melihat buah jatuh bertebaran, sambil mengutip dan memasukkannya di dalam bakul besar atau tambok, yang disandar di belakang.

Kami juga sempat menikmatinya. Biasanya buah yang baru jatuh rasa segarnya luar biasa.

Namun mengandar bakul besar yang berisi durian sambil berjalan di dalam hutan cukup memenatkan dan memerlukan stamina… jika tidak anda pasti tersungkur

. Menurut pemilik dusun, keadaan lebih sukar apabila dusun berada di kawasan berbukit, atau jauh di dalam hutan.

Ada yang turun ke kebun ketika keadaan masih kegelapan, sekitar jam 4 pagi semata-mata untuk mengutip buah untuk dijual sekitar jam 9.00 pagi.

Namun musim buah yang banyak menyebabkan harganya merudum, dan pemilik tiada pilihan, kecuali menurunkan harga, jika tidak ia terbuang begitu sahaja.

Oleh itu, pengeluaran buah yang sederhana membolehkan harganya stabil, tidak terlalu mahal dan tidak pula terlalu murah, kebanyakan orang mampu membelinya.

Yang pasti, harga yang terlalu mahal menyebabkan hanya golongan tertentu yang mampu membelinya, dan ia tidak juga baik untuk penjual.

Biasanya pengeluaran buah sederhana banyak akan menguntungkan kedua-dua pihak, penjual dan pembeli.

RM300 SEBIJI

Jika di Semenanjung ada pelbagai gelaran terhadap raja buah ini, dan harganya mengikut status dan gred.

Oleh itu, durian sebagai ‘lubuk emas’ bagi pengusaha dan peraih.

Jika dulu spesies duri hitam yang berada di tangga teratas carta, tetapi kini takhtanya sudah pun dirampas semula musang king.

Jika harga duri hitam sekitar RM70 hingga RM85 sekilogram, musang king gred A pula mencecah RM100 hingga RM120 sebiji.

Namun harga juga bergantung kepada pengeluaran dan permintaan. Beberapa lagi spesies lain seperti udang merah, kunyit, sultan, D24, yang harganya sekitar RM30 hingga RM50 sekilogram.

Turut berada di pasaran ialah Tupai King, Tekka, Golden Phonix, XO, D101, Black Pearl, D13 dan D17. Yang pasti, musang king dan duri hitam menjadi buruan ramai kerana rasanya yang lain daripada yang lain. Malah ada yang sanggup berbelanja besar, demi kepuasan.

Di Balik Pulau, Pulau Pinang misalnya, musang king dan duri hitam bersaiz besar, sekitar lebih tiga kilogram berharga RM300 sebiji. Mungkin pengusaha dusun di Sarawak perlu juga mencipta nama untuk durian lokal atau kampung ini, berdasarkan gred masing-masing

. Ia perlu dilakukan demi identiti dan nilai tambah si raja buah ini.

Ia kerana terdapat varieti yang sangat enak, namun tidak mempunyai nama. Ia perlu mempunyai jenama sendiri bagi mengangkat martabat durian Bumi Kenyalang.

Siapa tahu ada spesies terbaik dalam kalangan durian lokal ini yang mampu mencabar reputasi duri hitam atau musang king? Pokok yang menghasilkan varieti terbaik perlu dipulihara atau proses hibrid dengan spesies sesuai.

Oleh itu penyelidikan dan pembangunan harus dilakukan dari semasa ke semasa terhadap durian lokal ini bagi mengekalkam kualiti mahupun kuantiti.

Menurut salah seorang penjual durian  di Kuching, yang dikenali sebagai Joep, durian Sarawak juga popular dalam kalangan penggemar dari Semenanjung.

“Kalau orang Semenanjung ke sini, biasanya mereka mencari durian kampung, yang pokoknya berusia lebih 30 tahun ke atas.

Biasanya ia mengeluarkan buah yang sempurna, bukan sahaja dari segi tekstur isi (lunak), tetapi juga aroma dan rasa yang luar brasa,” katanya.

“Rasanya yang sedikit pahit, tetapi banyak manisnya, amat digemari ramai. Ini kerana pokok yang telah berusia (lebih 20 tahun) mempunyai akar yang menjalar jauh ke dalam tanah, sekali gus mudah mendapatkan nutrien untuk pertumbuhan pokok dan buah.

Ini tidak berlaku pada pokok yang baru berusia lima atua 10 tahun,” ujar Joep.

Sebagai pembekal utama pes durian kampung ke Kuala Lumpur serta China, sejak 2019, Sarawak mempunyai masa depan cerah, dalam pasaran durian.

Kewujudan rantaian pasaran durian bukan sahaja membantu petani terutama di luar bandar untuk meraih pendapatan lumayan, malah mencapai sasaran Kerajaan Negeri untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeksport makanan menjelang 2030.

Durian ini yang dijadikan pes dibeli daripada penduduk di sekitar Padawan, Bau, Serian, Simunjan dan Betong sebelum diproses menjadi pes untuk digunakan bagi menghasilkan produk makanan berasaskan buah berkenaan, seperti aiskrim, kek dan biskut.

Yang pasti, durian merupakan antara empat tanaman popular di Sarawak yang dikenal pasti sebagai berpotensi untuk kegunaan sendiri dan dieksport, selain kelapa, nanas dan pisang.

Pada masa akan datang, Sarawak bukan hanya dikenali sebagai antara jelapang padi Malaysia, tetapi juga sebagai pengeluar durian bermutu tinggi, setanding musang king dan duri hitam.

BERITA LAIN

ART pelaburan jangka panjang

BAGI penduduk bandar raya Kuching dan kawasan sekitarnya, perjalanan ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah, menghadiri urusan pejabat atau pulang ke rumah yang memakan masa

Chong, Violet digantung dalam sidang DUN Sarawak

DALAM politik, kata-kata adalah senjata. Tetapi dalam Dewan Undangan Negeri, kata-kata juga boleh menjadi perangkap kepada mereka yang mengucapkannya. Tuduhan tanpa bukti boleh menjadi ungkapan

BERITA TERBARU