ARTIKEL

Foto Agenda Daily. Gambar hiasan

Rakyat hilang kuasa beli

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

CADANGAN untuk menaikkan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada enam ke lapan peratus yang dibentangkan dalam Belanjawan 2024 menjadi perbualan ramai meskipun makanan, minuman dan komunikasi dikecualikan.

Ini kerana kenaikan kadar cukai tersebut pastinya secara langsung menaikkan kos sara hidup masyarakat yang menambah beban kewangan mereka. 

Malah terdapat tanggapan kenaikan kadar cukai boleh menyebabkan inflasi dan impak besarnya mengurangkan kuasa membeli orang ramai.

Ini sekali gus memberi kesan kepada peniaga, pengusaha dan pelabur berikutan kuasa membeli rakyat susut. 

Melihat kepada kenaikan kadar cukai ini, kumpulan M40 antara yang terkesan kerana kebanyakan pemberian bantuan oleh kerajaan dirasai kumpulan B40.

Sementara kumpulan T20 pula tidak banyak terkesan kerana mempunyai kewangan yang kukuh dan stabil.

Daripada perspektif pelaburan asing pula, kenaikan cukai boleh mempengaruhi tarikan pelaburan asing ke Malaysia, terutamanya jika kadar cukai yang tinggi mengehadkan keuntungan yang boleh diperoleh oleh pelabur.

Dengan kenaikan kadar SST, ia meningkatkan kos operasi bagi perniagaan, termasuk syarikatsyarikat asing yang beroperasi di Malaysia. 

Ini boleh mengurangkan keuntungan mereka terutamanya jika mereka tidak dapat menyalurkan kos yang lebih tinggi kepada pengguna.

Kenaikan cukai SST boleh mempengaruhi rantai bekalan perniagaan global ini kerana syarikat asing yang bergantung kepada bekalan dari Malaysia mungkin terpaksa menanggung kos tambahan akibat kenaikan cukai ini.

Berikutan itu, ramai mencadangkan agar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula dengan syarat ia dilaksanakan dalam kadar yang rendah. 

Ini kerana GST merupakan cukai nilai tambah dikenakan pada setiap peringkat bekalan atau perkhidmatan. 

Ini membolehkan pengutipan cukai yang lebih berkesan kerana setiap perniagaan dalam rantaian bekalan cukai hanya membayar cukai pada nilai tambah yang ditambahkan oleh perkhidmatan atau produk yang mereka sediakan. 

Dalam SST, cukai dikenakan hanya pada tahap jualan akhir, yang boleh mencipta masalah culas cukai.

GST biasanya lebih adil kerana setiap orang yang membeli barangan atau perkhidmatan membayar cukai GST tanpa mengira pendapatan mereka. 

Ini memastikan bahawa semua golongan masyarakat menyumbang kepada pendapatan kerajaan.

Pun begitu, isu berkaitan kutipan cukai ini merupakan sesuatu yang kompleks kerana ia bergantung kepada kedudukan kewangan negara dan keputusan kerajaan. 

Kerana pada penghujungnya, hasil cukai yang dikutip oleh kerajaan perlu dikembalikan semula kepada rakyat, baik dari segi bantuan kewangan, pembinaan infrastruktur dan sebagainya.

Bagaimanapun, segala pelaksanaan bergantung kepada keputusan dan pertimbangan kerajaan yang telah membuat analisa seperti pertumbuhan dan kestabilan ekonomi baik dalam negara dan global.

BERITA LAIN

Ancaman halus dunia hiburan

HAMPIR semua orang mengakui kesan negatif terhadap akhlak dan tingkah laku dalam kalangan masyarakat akibat filem dan siri yang banyak memaparkan adegan ganas, seks, ekstremisme

BERITA TERBARU