ARTIKEL

RAMADAN pelihara lima asas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Bulan Ramadan merupakan anugerah agung daripada Allah SWT kepada umat Islam.

Ia bukan sekadar bulan ibadah rutin, tetapi madrasah tarbiah yang membentuk peribadi Muslim secara menyeluruh.

Dalam kerangka maqasid syariah, Ramadan menjadi manifestasi jelas terhadap tujuan-tujuan utama pensyariatan Islam.

Konsep maqasid syariah yang dihuraikan oleh tokoh-tokoh seperti Imam al-Ghazali dan diperkukuh oleh Imam al-Shatibi menjelaskan syariat Islam bertujuan memelihara lima perkara asas (al-daruriyyat al-khams), iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Ramadan sebagai bulan yang diwajibkan berpuasa mengandungi hikmah besar yang selari dengan lima objektif ini.

MEMELIHARA AGAMA (HIFZ AL-DIN)

Objektif utama pensyariatan puasa adalah untuk membentuk ketakwaan dan memelihara agama dalam diri manusia.

Firman Allah SWT: “Wahai orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” ( Surah al-Baqarah, ayat 183)

Ayat ini menegaskan tujuan puasa adalah untuk melahirkan insan yang bertakwa.

Takwa merupakan asas pemeliharaan agama kerana takwa membina kesedaran bahawa Allah sentiasa memerhati.

Ibadah puasa bersifat rahsia.

Seseorang boleh sahaja berpurapura berpuasa di hadapan masyarakat, tetapi tidak di hadapan Allah SWT.

Justeru, puasa melatih keikhlasan yang menjadi tunjang keimanan.

MEMELIHARA NYAWA (HIFZ AL-NAFS)

Islam sangat menitikberatkan penjagaan nyawa sebagaimana firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu membunuh diri kamu; sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepada kamu.” (Surah al-Nisa’, ayat 29)

Puasa mendidik manusia agar menjaga kesihatan fizikal dan rohani.

Dari sudut fizikal, puasa yang dilakukan secara teratur memberi peluang kepada sistem tubuh untuk berehat serta menstabilkan metabolisme.

Islam juga memberikan keringanan (rukhsah) kepada orang yang sakit dan musafir untuk tidak berpuasa.

Hal ini menunjukkan syariat tidak bertujuan memudaratkan nyawa.

MEMELIHARA AKAL (HIFZ AL-‘AQL)

Akal merupakan anugerah besar yang membezakan manusia daripada makhluk lain.

Islam mengharamkan segala perkara yang merosakkan akal seperti arak dan dadah.

Firman Allah SWT: “Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, berhala dan undian nasib adalah najis dan termasuk perbuatan syaitan, maka jauhilah ia agar kamu berjaya.” (Surah al-Ma’idah, ayat 90)

Dalam bulan Ramadan, umat Islam digalakkan memperbanyak bacaan al-Quran kerana Ramadan ialah bulan diturunkan al-Quran.

Aktiviti seperti tadarus, tadabbur dan menghadiri majlis ilmu dapat menyuburkan pemikiran serta meningkatkan kefahaman agama.

MEMELIHARA KETURUNAN (HIFZ AL-NASL)

Pemeliharaan keturunan berkait rapat dengan penjagaan akhlak dan institusi keluarga.

Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga menahan syahwat serta hawa nafsu.

Rasulullah SAW bersabda: “Wahai para pemuda, sesiapa dalam kalangan kamu yang mampu berkahwin, maka berkahwinlah, kerana ia lebih menundukkan pandangan dan lebih memelihara kemaluan…” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Puasa membantu mengawal nafsu bagi mereka yang belum mampu berkahwin.

Dalam bulan Ramadan, suasana ibadah yang subur mendorong umat Islam menjaga pergaulan, pertuturan dan tingkah laku.

Amalan berbuka puasa dan bersahur bersama-sama keluarga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Pendidikan rohani yang diterima sepanjang Ramadan membentuk generasi yang berakhlak mulia serta bertanggungjawab.

MEMELIHARA HARTA (HIFZ AL-MAL)

Islam menekankan pengurusan harta secara adil dan beretika.

Ramadan mendidik sifat qana‘ah serta menjauhkan pembaziran.

Firman Allah SWT: “Dan makan serta minumlah, dan janganlah kamu berlebih-lebihan.

Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-A‘raf, ayat 31)

Pensyariatan zakat serta galakan bersedekah dalam bulan Ramadan membantu mengagihkan kekayaan secara lebih seimbang.

Rasulullah SAW terkenal sebagai insan yang paling pemurah, dan sifat tersebut lebih terserlah dalam bulan Ramadan (Riwayat al-Bukhari).

Hal ini menunjukkan pengurusan harta dalam Islam bukan hanya soal pemilikan, tetapi juga tanggungjawab sosial.

Secara kesimpulannya, maqasid syariah memberikan kefahaman bahawa setiap pensyariatan mempunyai tujuan yang luhur.

Ramadan bukan sekadar kewajipan tahunan, tetapi sistem tarbiah yang memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Melalui dalil al-Quran dan hadis, jelas bahawa ibadah puasa mengandungi hikmah spiritual, sosial dan moral yang mendalam.

BERITA LAIN

Jambatan mudahkan perjalanan pulang

Setiap kali musim perayaan tiba, perjalanan pulang ke kampung menjadi antara perkara yang paling dinantikan, terutama bagi mereka yang bekerja jauh dari kampung halaman. Namun,

Peperiksaan medan bina diri

Peperiksaan merupakan salah satu perkara penting dalam kehidupan seorang pelajar. Peperiksaan bukan sekadar mengukur sejauh mana seseorang menguasai ilmu yang dipelajari, malah menjadi medan untuk

BERITA TERBARU