Ramadan satukan ummah

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

BERAKHIRNYA Syaaban bagi kalendar Hijriah pada Rabu di Timur Tengah, menjadikan Ramadan bermula pada Khamis lalu di Arab Saudi, Mesir, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UEA), Qatar, Palestin dan beberapa negara Arab lainnya.

Di Asia Tenggara, kesepakatan empat negara Asean; Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam termasuk Thailand, Vietnam dan lainnya turut mengisytiharkan 1 Ramadan bermula Khamis lalu.

Menyambut Ramadan kali ini, Kementerian Urusan Islam Arab Saudi mengeluarkan beberapa peraturan pelaksanaan ibadah Ramadan, antaranya larangan permintaan sumbangan untuk berbuka puasa oleh masjid, pembatasan volum suara azan sehingga kepada peringatan tidak membawa kanak-kanak ke masjid. 

Imam juga diminta memberi jeda waktu yang cukup dari solat tahajud hingga menuju azan Subuh agar tidak memberatkan jemaah.

Penggunaan kamera di masjid menayangkan imam dan jemaah solat juga dilarang, selain mendirikan khemah sementara tidak dibenarkan dan jemaah diminta segera membersihkan bekas makan selepas berbuka puasa.

Meski ada yang mempertikai arahan bagi peraturan ini, ibadah puasa di Arab Saudi selama ini sentiasa dipatuhi secara ketat, dengan restoran ditutup hingga waktu berbuka.

Raja Salman turut melakukan perjalanan dari Riyadh ke Jedah pada Rabu, sehari sebelum puasa bermula.

Baca lain  Berpuasa kukuhkan ingatan, kawal stres

Barakah

Menteri Media Kerajaan, Salman al-Dosari berucap mewakili Raja buat warga dan penduduk.

Raja berterima kasih kepada Allah SWT atas semua kurnia barakah-Nya dan menzahirkan rasa terhormat baginda melayani dua masjid suci di Makkah dan Madinah serta penziarah dari seluruh dunia.

Arab Saudi berusaha keras memastikan jemaah selesa berada di tanah suci dari saat tetamu tiba, sehingga kembali semula ke tanah air masing-masing.

Bagi Raja Salman, Ramadan bulan diberkati dan baginda meminta Allah SWT membantu semua umat Islam, memanfaatkan siang dan malamnya melakukan perbuatan baik.

Baginda juga memohon Allah SWT melindungi Arab Saudi dan dunia daripada segala kejahatan, damai bagi rakyat, bangsa Muslim dan manusia di seluruh dunia.

Sempena Ramadan kali ini, UEA juga mengeluarkan panduan melarang umat Islam menolak ajakan berbuka puasa daripada rakan kerana dianggap tidak sopan.

UEA turut mengetatkan larangan makan, minum dan mengunyah gula-gula getah di tempat terbuka selama waktu puasa, walaupun restoran di negara itu tetap dibuka bagi melayani keperluan warga bukan Muslim, anak-anak, wanita hamil dan warga emas.

Baik yang berpuasa mahupun tidak disaran tidak terlibat berdebat yang tidak perlu, terutama di tempat umum.

Baca lain  Kembalikan roh Ngap Sayot

Warga UEA juga diminta berpakaian sopan di tempat umum sepanjang Ramadan.

Usaha Damai

Sebelum Ramadan, China mengatur usaha mendamaikan Riyadh-Teheran, selain memulihkan hubungan Iran-Bahrain.

Kedua-dua Arab Saudi dan Iran sedia membuka kembali kedutaan dan misi dalam tempoh dua bulan serta berusaha menerapkan perjanjian kerjasama keamanan dan ekonomi yang ditandatangani lebih 20 tahun lalu.

Berita baik untuk Ramadan kali ini, Iran menyambut baik pemulihan hubungan dengan Bahrain bagi mengakhiri tujuh tahun hubungan yang putus.

Raja Salman turut mengundang Presiden Iran, Ebrahim Raisi mengunjungi Arab Saudi.

Bagaimanapun, mengenangkan China mengatur kesepakatan dengan Iran, selain kedua-dua Beijing dan Teheran musuh jelas AS dan Israel, sediakah Washington berlapang dada menerima hubungan harmoni ini.

Ketika blok Eropah menyaksikan perang Ukraine dengan Rusia menemui jalan buntu untuk dihentikan, hal ini tidak mungkin membuat AS dan Nato gembira menyaksikan sekutu Rusia – China dan Iran – berbaik-baik dengan kerajaan di Timur Tengah.

Di tangan Putera Mahkota Mohammed Salman yang dilantik sebagai Perdana Menteri, Arab Saudi jelas berbaik-baik dengan Washington.

Manakala, PBB mengambil sikap berhati-hati merespons perkembangan terbaharu hubungan Riyadh-Teheran ini setelah usaha rekonsiliasi sebelumnya tidak berhasil.

Baca lain  Gandingan pelbagai pihak banteras dadah

Puasa seharusnya mendekatkan manusia kepada lebih banyak kebaikan.

Hubungan Tegang Di Baitulmuqaddis, hubungan Israel-Palestin sentiasa tegang. Gaza menjadi medan tempur perang kecil.

Pada Ramadan kali ini, masyarakat Muslim berkumpul di kompleks Masjid al-Aqsa yang disebut Yahudi sebagai Temple Mount – bagi melaksanakan solat Tarawih.

Sementara, Kerajaan Israel terus mengenakan peraturan, hanya membenarkan wanita, kanak-kanak bawah 12 tahun dan dewasa atas 55 tahun memasuki al-Aqsa.

Kaum lelaki Palestin berusia 12-55 tahun dilarang memasuki al-Aqsa termasuk untuk solat Jumaat sepanjang Ramadan.

Mengapa negara Arab kebanyakannya berdiam diri sejauh berkaitan isu Israel di Timur Tengah.

Ilmuan berpendapat, diamnya negara-negara Arab kerana mereka terlalu bergantung dengan AS yang mempunyai hubungan baik dengan pelobi kuat dengan Yahudi Israel.

Palestin tidak memiliki sokongan politik dan strategi perjuangan yang kuat seperti Israel yang sejak awal mendirikan Israel mempunyai strategi perjuangan dan kini memiliki kekuatan penggalangan dana serta bijak mendekati negara berpengaruh di kancah dunia.

Seperti didoakan oleh Raja Salman sempena Ramadan Al-Mubarak ini – semoga Allah melindungi umat Islam dan seluruh manusia di seluruh dunia daripada percaturan politik antarabangsa yang tidak pasti ini!

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Kebangkitan BRICS

BRIC singkatan kepada kelompok negara Brazil, Rusia, India dan China

Asfalt pun meleleh

FENOMENA alam; berlakunya tekanan tinggi di atmosfera memaksa udara panas

Menjinak AI

PAKAR fizik Oxford Stephen Hawking yang terkenal dengan tesis lubang

Lain-lain

Awasi jerat penipu

SEKITAR awal pagi Selasa lepas, saya menerima panggilan daripada seseorang.