SERIAN: Suasana duka menyelubungi Tanah Perkuburan Cina Batu 8 di sini semalam apabila rakan sekerja dan warga IPD Serian berhimpun memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Sjn Jong San Ye, pegawai Cawangan Khas yang meninggal dunia baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Serian, Supt Freddy Bian Stanislaus Bian hadir mengetuai delegasi polis bersama Timbalan Ketua Polis Daerah Serian, DSP Jaimi Husin serta pegawai kanan dan pegawai rendah dari IPD Serian.


Kehadiran mereka bukan sekadar formaliti tetapi simbol penghargaan terhadap dedikasi mendiang sepanjang berkhidmat.
Sjn Jong San Ye berkhidmat di IPD Serian selama lebih 14 tahun. Sepanjang tempoh itu beliau dikenali sebagai pegawai yang komited, berdedikasi dan mesra rakan sekerja.
Kepakaran dan sikapnya yang peramah menjadikan beliau figura yang disegani dan disayangi dalam pasukan.


Di sebalik profesionalisme itu, beliau juga seorang ayah dan suami yang penyayang. Mendiang meninggalkan seorang isteri serta dua anak lelaki yang masih bersekolah.
Kehilangan ini bukan sahaja dirasai oleh keluarga tetapi juga rakan sekerja yang lama mengenali beliau.
Majlis pengebumian dimulakan di Chan Funeral Service Serian dengan bacaan doa dan upacara mengikut adat keluarga mendiang.


Suasana duka dan hening mengiringi setiap detik menandakan penghormatan terakhir kepada seorang pegawai yang banyak berjasa.
Sekitar jam 3:10 petang jenazah dibawa ke liang lahad. Proses pengebumian berlangsung dengan tertib dan lancar membolehkan semua yang hadir memberi penghormatan terakhir.
Rakan sekerja berkongsi kenangan manis tentang mendiang, bagaimana beliau sentiasa bersedia membantu, mengutamakan tugas dan menyemai semangat positif dalam kalangan anggota pasukan.
Kenangan ini mengukir penghargaan mendalam terhadap jasa beliau.








