ARTIKEL

Rayakan sebulan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

HARI ini hari ketujuh kita menyambut Hari Raya Aidilfitri. Sik berasa, terutama bagi golongan muda.

“Lom puas beraya, dah mula bersekolah.”

Antara dialog yang kita boleh dengar ketika ziarah raya apabila sebut sahaja Isnin (semalam) sekolah sudah dibuka.

Paling terasa kesedihan ialah pelajar yang sudah kembali ke asrama sekolah petang Ahad lepas.

Anak-anak berat hati hendak balik ke asrama, sebab belum puas beraya.

Terasa sangat sekejap.

Cuma lima hari dapat beraya bersama-sama keluarga dan rakan-rakan.

“Kalau raya awal minggu, Isnin, cuti raya agak panjang.

Disebabkan kita raya Rabu, jadi cuti nampak pendek,” jelas seorang bapa rakan anak.

Dia juga sedikit sebak sebab perlu menghantar anaknya yang juga akan kembali ke asrama sekolah. Apa-apa pun, persekolahan tetap perlu diutamakan.

Bagi sesetengah sekolah berasrama, setiap minggu ibu bapa boleh datang menjenguk anak-anak di asrama.

Dan boleh juga keluar sebentar mengikut tempoh yang ditetapkan. Biasanya keluar pagi, dan kembali semula ke asrama pada sebelah petangnya.

Dan, setiap dua minggu pelajar dibenarkan kembali ke rumah masing-masing bermula selepas solat Jumaat, dan kembali semula ke sekolah pada petang Ahad.

Rayakan sebulan.

Jadi, masih ada ruang untuk ibu bapa membawa anak-anak ziarah raya di rumah saudara-mara serta rakan-rakan.

Bagi ibu bapa, ziarah raya ini penting.

Bukan sekadar gembira berhari raya, tetapi lebih dari itu untuk memperkenalkan anak-anak dengan ahli keluarga dan sanak saudara yang masih dekat hubungan kekeluargaan.

Yang jauh didekatkan, yang dekat dimesra-mesrakan lagi.

“Anak sapa tok?”

Soalan yang saya dengar dari kecil hingga sudah mempunyai dua anak sekarang.

Ini antara soalan yang kita biasa dengar apabila berkunjung ke rumah sanak saudara.

“Nya tok anak kamek,” jawab bapa atau ibu kita. “Aih! Besar-besar dah anak ko Ali.

Mun berlanggar berjalan di pasar memang sik tauk, biak tok duhal anak sedara kamek.”

Bukan setakat sebuah atau dua rumah, banyak rumah yang dikunjungi soalan yang sama dan jawapan yang sama dapat kita dengar.

“Mun sik kerana Hari Raya, sik ditauk tok anak buah, cucu… Tok pun setahun sekali kita dapat bertemu.

Terima kasih jenguk kamek di kampung tok.”

Disebabkan sibuk dengan urusan harian masing-masing, ada yang bertahun-tahun tidak pulang ke kampung.

Sekali atau dua pun tidak.

Antara punca: kerja, kerja dan kerja.

Tiada cuti selain kos untuk balik kampung.

Selain itu, jalan raya kurang elok menyebabkan perjalanan memakan masa agak panjang. Sekarang, tiada alasan untuk tidak pulang ke kampung.

Bercakap tentang Sarawak, kemudahan jalan raya di negeri ini jauh lebih baik berbanding dahulu — sebelum adanya Lebuh Raya Pan Borneo.

Jalan sekarang lebar dan sangat selesa bagi pemanduan jarak jauh.

Satu nikmat yang dapat memastikan setiap seorang dapat pulang ke kampung pada bila-bila masa sahaja.

Dengan perjalanan tiga jam dari Kuching ke Sri Aman yang kini dapat dipendekkan kepada dua jam, malah ada yang satu setengah jam — memang menjimatkan masa.

Bak kata orang: “Dapat dua tiga kali ulang alik dari Kuching ke Sri Aman.”

Begitu juga dengan perjalanan dari Kuching ke bahagian-bahagian lain.

Rata-rata dapat dipendekkan sekitar dua ke tiga jam — bergantung kelajuan pemanduan dan jumlah kenderaan di jalan raya. Setakat ini, belum ada kesesakan luar biasa di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo.

Jadi, ini amat membantu masyarakat untuk melakukan ziarah raya.

Bila-bila masa boleh ziarah. Pergi pagi, malam sudah berada di rumah sendiri.

Kadang-kadang tidak perlu bermalam di kampung, kerana bandar dan kampung sudah didekatkan dengan adanya jalan raya yang baik dan selesa.

“Kinek tok, kereta dah sampey ke kaki tanggak rumah dah,” terang seorang saudara apabila bercakap tentang adanya kemudahan jalan raya.

“Beza dengan zaman dolok, motosikal pun sik ada di kampung.

Basikal ada la… Mun nak ke Kuching, perlu sehari pergi dan sehari pulang pake bot ekspres.”

Nostalgia Aidilfitri

Cerita-cerita lama dan nostalgia akan timbul setiap kali tiba Aidilfitri. Inilah masa yang sesuai untuk mengungkit kembali kenangan-kenangan lama yang indah-indah.

Pejam celik, pejam celik (pejam celik) Hari Raya sudah tiba, Lagu-lagu Raya klasik meriahkan suasana, beramah mesra, berbalas senyuman dan tawa yang tak dipaksa, marilah semua kita dendangkan salam Lebaran.

Ini petikan lirik lagu Pejam Celik Hari Raya nyanyian Iman Troye tentang Hari Raya.

Lagu ini menceritakan tentang kenangan Aidilfitri. Semua orang mampu beramah mesra, sentiasa mengukir senyuman dan ketawa — semuanya pula bukan dipaksa-paksa. Inilah hikmah Aidilfitri.

Sempat berkunjung ke rumah rakan, kami rakan sama usia, belajar di dalam kelas dan sekolah yang sama sejak tahun satu lagi hingga tingkatan lima bukan dihidangkan dengan makanan, tetapi kisah-kisah lama di sekolah menjadi hidangan utama.

Ketawa terbak-bahak mendengar cerita lucu di sekolah.

Cerita-cerita ini pula didengar oleh anak-anak.

Sesekali nasihat dilemparkan kepada anak-anak sebagai pengajaran.

“Uncle dengan ayah kitak dolok rakan kamceng… turun sekolah sama, balit sekolah sama.

Mun berbasikal sama-sama berbasikal. Pergi sekolah bawa duit 40 sen jak.”

Seorang lagi rakan menyambung: “Macam-macam cerita dolok.

Sebab sik maok ditinggal bas, setengah badan di dalam bas, setengah gik di luar pintu bas sebab bas penuh.

Best waktu ya, kadang-kadang konduktor bas sik ambik tambang penumpang yang badan setengah di dalam, setengah di luar bas.”

“Aku masih ingat dolok di sekolah rendah. Geng Semariang akan pulang awal sebab berebut dengan bas waktu petang,” jelas Hadi.

Sambung seorang lagi: “Waktu ya kamek orang pake van bapa kawan.

Bayar 20 sen jak.

Orang lain balit awal, kamek orang pun ikut keluar.

Masuk ke dalam van, kami baring sebab takut cikgu terlihat kami.”

Seorang rakan pernah berkata: “Raya berkait dengan kenangan.

Sejahat mana pun seseorang itu, dia akan terkenang keluarga dan kampung setiap kali tiba Hari Raya.

Air mata jantannya juga boleh membasahi pipi.”

Ini cuma sekelumit cerita tentang Aidilfitri.

Pasti ada yang mempunyai banyak lagi cerita-cerita menarik yang mungkin sudah dikongsi. Dan ada yang sudah diceritakan.

Jadi, masih ada banyak lagi masa untuk mendengar cerita-cerita ini sebab “Rayakan sebulan”.

BERITA LAIN

Potensi ekonomi pelancongan kulinari, gastronomi

KUCHING: Gastronomi melalui inovasi kepelbagaian kulinari tradisi tempatan merupakan salah satu medium yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi mampan Sarawak di peringkat dunia. Timbalan Menteri Pelancongan,

SAR warga emas di Kampung Kakeng diteruskan

SERIAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki warga emas dari Kampung Kakeng dekat sini yang dipercayai hilang selepas tidak pulang ke rumah sejak Sabtu, diteruskan

BERITA TERBARU

Sekolah di Pakistan ditutup 7 hari

ISLAMABAD: Berikutan peningkatan suhu dan gelombang haba di wilayah Punjab, timur Pakistan, semua sekolah awam dan swasta akan ditutup selama tujuh hari dari 25 hingga

MyKiosk mudahkan peniaga

SARATOK: Peniaga kecil tepi jalan di Saratok dan Roban boleh menarik nafas lega apabila permohonan mereka untuk mendapatkan kemudahan berniaga seperti MyKiosk diluluskan oleh kerajaan.

Emosi cedera

SAYA percaya ketika kita masih kanak-kanak, kita pernah mengalami situasi tidak sabar untuk melangkah ke alam dewasa. Dalam minda kita ketika kecil, sering kali berfikir

Fokus kesedaran biodiversiti

PERTUBUHAN BangsaBangsa Bersatu (PBB) menetapkan 22 Mei pada setiap tahun sebagai tarikh mengingati dan menghargai kepentingan biodiversiti dalam kehidupan seharian. Ia diselaraskan oleh Sekretariat Konvensyen