ARTIKEL

Gerald bersama ahli Jawatankuasa Kecil Rekreasi, Kebudayaan dan Sukan SABERKAS menunjukkan piala kejohanan selepas sidang media tersebut.

Rebut Piala Presiden: 82 Cawangan SABERKAS Bakal Berentap

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) terus memperkukuh penglibatan ahlinya menerusi penganjuran Kejohanan Piala Presiden SABERKAS 2026 yang julung kali diadakan bermula 1 hingga 3 Mei depan.

Timbalan Presidennya, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, penganjuran kejohanan itu merupakan antara aktiviti utama menjelang Mesyuarat Agung Tiga Tahun Sekali (TGM) yang dijadualkan berlangsung tahun ini bagi memilih barisan Exco baharu.

“Ini merupakan salah satu program susulan daripada Karnival Sukan SABERKAS. Kita menerima banyak maklum balas agar pertandingan di peringkat lebih besar diwujudkan untuk ahli-ahli SABERKAS.

“Piala Presiden ini menjadi platform untuk mengaktifkan semula cawangan selain menghimpunkan ahli dari seluruh Sarawak dalam suasana pertandingan yang sihat,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Rekreasi, Kebudayaan dan Sukan SABERKAS menjelaskan penyertaan dibuka kepada kesemua 82 cawangan di seluruh Sarawak dengan setiap cawangan layak menghantar satu pasukan yang dianggotai 10 ahli berdaftar.

“Tarikh tutup penyertaan ditetapkan pada 30 Mac ini bagi memberi ruang kepada pihak penganjur menyelaraskan jadual pertandingan serta proses cabutan sepanjang bulan April.

“Pertandingan peringkat awal akan berlangsung pada 1 dan 2 Mei di Arena Sukan Simpang Tiga, manakala aksi separuh akhir dan perlawanan akhir dijadualkan berlangsung pada 3 Mei di Kompleks Sukan Asajaya, Samarahan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Gerald berkata kejohanan tersebut bukan sahaja bertujuan merancakkan aktiviti sukan dalam kalangan ahli malah berpotensi menjadi medan mencungkil bakat baharu.

“Sebenarnya setiap cawangan sudah mempunyai juara futsal masing-masing. Kita mahu menghimpunkan mereka di peringkat negeri untuk menilai potensi yang ada.

“Mana tahu, menerusi platform ini kita dapat mengenal pasti bakat muda yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa majlis perasmian dan penyampaian hadiah kejohanan tersebut dijangka disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan yang juga Presiden SABERKAS, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Dari segi ganjaran, juara bakal membawa pulang wang tunai RM7,000 berserta piala pusingan, pingat dan sijil penyertaan, manakala naib juara akan menerima RM5,000 serta pingat dan sijil.

“Dua pasukan tempat ketiga bersama masing-masing akan menerima RM3,000, sementara empat pasukan yang mara ke peringkat suku akhir akan menerima RM1,000 setiap satu,” jelasnya.

Tambah beliau, anugerah khas turut disediakan bagi kategori pemain terbaik, penjaga gol terbaik dan penjaring terbanyak yang masing-masing bakal menerima wang tunai RM200 berserta piala iringan.

Penyertaan kejohanan ini hanya terbuka kepada ahli berdaftar SABERKAS tanpa had umur.

Maklumat lanjut serta borang penyertaan akan disalurkan menerusi laman media sosial rasmi serta e-mel kepada semua cawangan dalam masa terdekat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Jalan Seduku–Lingga diancam hakisan

KUCHING: Jalan utama sepanjang 31.3 kilometer dari Kampung Agropolitan Seduku ke Pekan Lingga berdepan ancaman hakisan tebing Sungai Batang Lupar, terutama di KM4.2 yang jaraknya