SEBUYAU: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang hampir dua hari dan dipercayai dibaham buaya ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tidak sempurna di Ulu Sungai Plaie, di sini, malam tadi.
Mangsa, Mohd Nordin Mohd Othman dari Kampung Plaie, Ulu Sebuyau, ditemukan kira-kira jam 8 malam selepas penduduk kampung menerima maklumat mengenai seekor buaya yang dipercayai membawa sesuatu dalam mulutnya.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, reptilia itu dilihat kira-kira jam 6 petang oleh penduduk Kampung Tuba yang dalam perjalanan pulang selepas menziarahi keluarga mangsa.
Maklumat berkenaan kemudian disampaikan kepada penduduk kampung sebelum mereka kembali ke lokasi tersebut kira-kira dua jam kemudian dan menemukan mayat mangsa dalam lingkungan 800 meter dari jeti kampung.
“Mayat mangsa dipercayai telah dimuntahkan oleh buaya tersebut,” menurut kenyataan itu.
Pemeriksaan awal PGO mengesahkan mayat berkenaan ialah remaja yang dilaporkan hilang, manakala pengecaman fizikal dilakukan oleh ahli keluarga mangsa.
Menurut PGO, pemeriksaan awal mendapati jasad mangsa dalam keadaan tidak sempurna, dengan beberapa anggota badan hilang serta terdapat kesan gigitan dan kecederaan pada tubuhnya.
“Pegawai penyiasat polis dari Simunjan kemudian hadir ke lokasi kejadian sebelum membawa mayat mangsa ke Hospital Simunjan untuk tindakan lanjut.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dikendalikan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan ditamatkan pada jam 4 pagi tadi.
“Operasi tersebut turut melibatkan kerjasama lapan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 20 penduduk kampung,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian mangsa dipercayai dibaham buaya pada jam 7 malam, Isnin lalu.



