SARATOK: Seorang warga Indonesia ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan melakukan amang seksual terhadap anak tirinya yang berusia 16 tahun.
Menurut Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie, suspek berusia 55 tahun itu dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada Oktober lalu.
“Pada 12 Oktober, suspek telah masuk ke bilik tidur mangsa dan mencium mangsa, namun tidak berjaya setelah ditepis.
“Kali kedua pada 19 Oktober, suspek cuba memeluk mangsa secara paksa dan mangsa meronta sehingga berjaya melepaskan diri.
“Bimbang akan keselamatannya, pada 13 November mangsa menghubungi bapa kandungnya dan disuruh membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Susulan itu, jelasnya, polis menangkap suspek di rumah panjangnya di Roban.
“Ketika disoal siasat, tiada pengakuan dibuat oleh suspek.
“Pemeriksaan lanjut ke atas telefon bimbit mangsa mendapati terdapat komunikasi seksual berbentuk mesej suara yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp, seperti yang dinyatakan mangsa, dipercayai dihantar oleh bapa tirinya,” ujarnya.
Tambah Mathew, mangsa tinggal bersama ibu kandung dan bapa tirinya yang bekerja mencari sayuran hutan untuk dijual di Pasar Awam Roban.
Kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 dan Seksyen 11(1) akta sama.



