Berkonsepkan taman, terletak di tepi sungai dengan pemandangan indah serta diwarnai lampu liplap, menjadi daya tarikan di Restoran Windy Harbour@Dapur Nelayan.
Tempat yang sangat menarik untuk dikunjungi ini terletak di Taman Stapok, Jalan Sungai Maong Baru, Kuching dan sangat sesuai untuk semua golongan tanpa mengira umur dan bangsa.
Menurut salah seorang pemilik dan rakan kongsi, Faridah Hasbi, restoran tersebut mula beroperasi pada 5 Januari lalu dan menerima sambutan yang memberangsangkan.
Katanya, Restoran Windy Harbour@Dapur Nelayan memiliki keunikan tersendiri. Pelanggan dapat menikmati hidangan stimbot dengan pelbagai pilihan menu seperti ayam, daging lembu dan kambing pada harga yang berpatutan.

“Harga bermula serendah RM33 untuk dewasa dan RM20 untuk kanak-kanak.
“Pelanggan juga boleh memilih untuk membawa makanan mentah mereka sendiri dan pihak restoran akan menyediakan kemudahan untuk memasak. Ia memberikan lebih fleksibiliti kepada pengunjung,” ujarnya ketika ditemui Suara Sarawak di restorannya, baru-baru ini.
Tambahnya, salah satu tarikan utama restoran ini ialah lokasi yang strategik iaitu di tepi Sungai Maong.
“Suasana malam di tepi sungai, diterangi lampu memberi pengalaman makan yang romantik dan santai, sesuai untuk keluarga, pasangan serta berkumpul bersama-sama rakan.
“Restoran ini juga menyediakan tempat parkir yang luas untuk memudahkan pengunjung.
“Untuk pengunjung Muslim, kemudahan surau juga disediakan,” ujarnya kepada pemberita.

CABARAN
Dalam pada itu, bagi mereka yang ingin mengadakan majlis khas seperti parti, ulang tahun atau acara korporat, restoran ini juga menerima tempahan untuk pelbagai jenis acara.
Ini menjadikannya sebagai destinasi yang lebih inklusif dan mesra pelanggan.
Justeru, restoran ini komited untuk terus meningkatkan kemudahan dan perkhidmatan agar pengalaman pelanggan lebih memuaskan.
Namun, seperti perniagaan kedai makan yang lain, Windy Harbour@Dapur Nelayan juga menghadapi cabaran dalam operasi.
Antaranya, kesukaran dalam mendapatkan pekerja tempatan yang komited.
Jelasnya, golongan muda kurang berminat untuk bekerja dalam industri penyediaan makanan.
Pun begitu, pihak pengurusan tetap memberi keutamaan kepada warga tempatan untuk bekerja bagi membantu mereka meningkatkan ekonomi.
Walaupun, pekerja dari Indonesia dikatakan lebih rajin dan ‘tahan lasak’, tetapi restoran ini tetap berusaha untuk meningkatkan pelibatan pekerja tempatan.

PROMOSI
“Cabaran seterusnya adalah dari segi promosi. Untuk restoran yang baru beroperasi, banyak usaha perlu dilakukan untuk memperkenalkan tempat ini kepada lebih ramai pelanggan.
“Oleh sebab restoran ini terletak di kawasan yang ramai dihuni masyarakat Cina, ia memerlukan lebih banyak usaha untuk menarik perhatian pelanggan Melayu, khususnya bagi mereka yang mencari restoran halal,” katanya.
Besar harapan Faridah untuk menjadikan Windy Harbour@Dapur Nelayan sebagai pilihan utama untuk stimbot halal di Kuching.
Bagi yang berminat untuk mengunjungi restoran ini atau membuat tempahan, boleh hubungi Faridah di talian 0168097913, 01136893153 (Abi), 0168588587 (Keven) dan 01118818881 (James).
Restoran ini beroperasi setiap hari kecuali Isnin, dari 5.30 petang hingga 11 malam.
Windy Harbor@Dapur Nelayan sangat sesuai untuk mereka yang mencari tempat makan santai, romantik dan mengenyangkan.








