ARTIKEL

Saingan PUBG MOBILE Terbuka antara tarikan utama Ekspo E-Sukan Sarawak 2026 (SAREX26) yang berlangsung di Perkampungan Sukan Sarawak, Petra Jaya.

RIBUAN MERIAHKAN SAREX26, 51 PASUKAN BERENTAP PUBG MOBILE

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Ribuan pengunjung memeriahkan Ekspo E-Sukan Sarawak 2026 (SAREX26) yang berlangsung selama tiga hari bermula 13 hingga 15 November di Perkampungan Sukan Sarawak, Petra Jaya.

Sebanyak 51 pasukan dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia berentap dalam saingan PUBG MOBILE Terbuka.
Pertandingan ini menjadi antara tarikan utama ekspo anjuran Persatuan E-Sukan Sarawak (SESA), sekali gus memperlihatkan sambutan amat menggalakkan dan perkembangan sukan elektronik dalam kalangan peminat serta pemain dari seluruh negara.

Saingan PUBG MOBILE dibahagikan kepada empat kumpulan, iaitu A, B, C dan D, dengan setiap pasukan perlu mengharungi empat peta permainan bagi mengumpul mata untuk menentukan kedudukan masing-masing.

Empat peta berkenaan merangkumi Rondo, dua pusingan Erangel serta Miramar yang menguji strategi, ketahanan dan kerjasama pemain dalam usaha mengatasi cabaran pasukan lawan.
Kehadiran pasukan dari pelbagai negeri turut menyaksikan persaingan sengit, selain memberi peluang kepada pemain Sarawak menguji kemampuan menentang pencabar dari Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Sambutan SAREX26 juga memberangsangkan apabila kira-kira 1,000 pengunjung hadir semalam bagi menyaksikan pertandingan serta menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan sepanjang ekspo berkenaan.

Selain PUBG MOBILE, lima lagi kategori dipertandingkan ialah Mobile Legends: Bang Bang lelaki dan wanita, simulasi perlumbaan Assetto Corsa terbuka, Tekken 8 terbuka serta eFootball terbuka.

Kesemua enam kategori menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM50,000, sekali gus menjadi tarikan kepada peserta untuk mempamerkan kemampuan terbaik dalam permainan masing-masing.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sambutan ke atas SAREX26 mencerminkan peningkatan minat golongan muda dalam sukan elektronik.

“Saya tidak terkejut sekiranya jumlah penyertaan melebihi 800 orang kerana maklumat acara seperti ini tersebar dengan sangat pantas dalam kalangan peminat e-sukan,” katanya pada sidang media pengumuman SAREX26.

Dalam pada itu, ekspo berkenaan turut menampilkan Bengkel Pensijilan Petugas E-Sukan, pameran teknologi, aktiviti komuniti serta sesi perkongsian ilmu bersama-sama pemimpin industri antarabangsa.

Program pensijilan tersebut memberi pendedahan kepada peserta berkaitan pengurusan pertandingan, keperluan teknikal, penyiaran dan penyelarasan acara sebagai persediaan melahirkan lebih ramai petugas e-sukan berkemahiran.

Penganjuran SAREX26 juga menjadi platform memperkukuh pembangunan bakat dan pengalaman pemain tempatan menjelang Sukan SEA Malaysia 2027, dengan Kuching bakal menjadi lokasi pertandingan e-sukan temasya berkenaan.

Selain pertandingan, kehadiran wakil badan e-sukan antarabangsa turut membuka ruang kepada perkongsian kepakaran, peluang perniagaan serta kerjasama industri bagi memperkukuh ekosistem sukan elektronik Sarawak.

SAREX26 dijadual melabuhkan tirainya hari ini menerusi majlis penutupan bermula jam 7 malam, termasuk sesi perbincangan industri berkaitan peluang pelaburan, pengkomersialan dan kerjasama antarabangsa dalam bidang e-sukan.
<-TAMAT->

BERITA LAIN

Kuching City FC intip bakat muda PYFCT

KUCHING: Pemain terbaik kategori bawah 12, 14 dan 16 tahun dalam Kejohanan Bola Sepak Belia Tertutup PETRONAS (PYFCT) 2026 berpeluang diserap menyertai Akademi Kuching City

BERITA TERBARU