ARTIKEL

Ringgit mengukuh, rakyat raih manfaat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

GEORGE TOWN: Pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar AS disifatkan sebagai perkembangan positif ekonomi Malaysia sekali gus memberi manfaat langsung kepada rakyat dan sektor perniagaan serta pelaburan negara.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata prestasi mata wang tempatan yang kembali ke paras lebih kukuh mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap kestabilan ekonomi negara.

“Ketika awal pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, nilai ringgit pernah berada sekitar RM4.50 berbanding dolar AS sebelum mengukuh ke paras kira-kira RM3.89 ketika ini.

“Pengukuhan ini menunjukkan aliran masuk pelaburan asing yang semakin meningkat selain kemasukan pelancong antarabangsa yang terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi domestik, nilai ringgit boleh dikatakan berada pada paras selesa dan stabil ketika ini dan kita berharap kenaikan ini membawa kebaikan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka MADANI Tahun Baharu Cina Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang di Wisma PKR, di Bayan Baru.

Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Datuk Mohamad Abdul Hamid yang juga Timbalan Ketua Menteri I serta barisan kepimpinan parti negeri.

Sim berkata antara manfaat utama kepada rakyat khususnya dalam sektor pertanian dan pembuatan ialah peningkatan kuasa beli apabila harga barangan import seperti baja, mesin termasuk bahan mentah menjadi lebih stabil.

Katanya, apabila kos import menjadi lebih terkawal, ianya akan membantu menstabilkan harga makanan dan mengurangkan tekanan kenaikan kos sara hidup rakyat.

“Selain itu, sektor pembuatan turut menerima manfaat apabila kos pembelian mesin dan teknologi dari luar negara menjadi lebih kompetitif sekali gus meningkatkan produktiviti industri tempatan,” katanya.

Beliau berkata kestabilan mata wang turut menyumbang kepada persekitaran ekonomi yang lebih mantap selain membantu memastikan harga barangan pengguna tidak meningkat secara mendadak.

Mengulas mengenai prospek ringgit sepanjang tahun ini, Sim menjangkakan mata wang tempatan akan terus berada pada paras stabil tanpa turun naik secara mendadak.

Katanya, pengukuhan melampau juga boleh memberi tekanan kepada sektor pengeksport, justeru paras semasa dianggap selesa dan seimbang untuk pertumbuhan ekonomi.

“Peningkatan keyakinan pelabur dan kemasukan pelancong dijangka terus merangsang pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melalui lonjakan aktiviti ekonomi seperti sektor pelancongan, pembuatan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) terus mempergiat usaha promosi bagi menarik lebih ramai pelabur ke negara ini, selaras dengan peranannya sebagai agensi peneraju dalam memacu pelaburan dan perdagangan.

“Itu kerja hakiki kami (MITI) untuk menarik pelabur asing, kami menarik pelabur asing dan juga pelbagai pelabur lain, bukan sahaja pelabur luar tetapi pelabur dalam negeri juga penting,” katanya.

– Bernama

BERITA LAIN

RM545 juta perkukuh Internet di Sarawak

KUCHING: Sebanyak RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan fasa pertama Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak, melibatkan hampir 350 lokasi di seluruh negeri. Menteri Komunikasi

BERITA TERBARU