ARTIKEL

Rizky Febian kembali dengan Adu Pandang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

“ADUDUH… Adu pandang, u uh…”

Bermula dengan dua insan yang saling bertatapan, bibir rasa kemudian berkembang menjadi debaran yang sukar disembunyikan.

“Duh, gimana ini ya?

Saat adu pandang,

Buat pipiku merah merona,

Ku pura-pura tenang,

Walau berdegup kencang.”

Begitulah Rizky Febian membuka cerita menerusi single terbaharunya, Adu Pandang, yang dilancarkan secara rasmi pada 25 September lalu.

Namun, sebelum karya itu menemui pendengar menerusi platform digital, Adu Pandang terlebih dahulu diperdengarkan oleh Rizky buat kali pertama ketika beliau tampil di Pestapora 2026 baru-baru ini.

Kemunculan karya baharu itu sekali gus memberikan peluang kepada peminat untuk mendengar lebih awal lagu yang ketika itu masih belum dilancarkan secara rasmi.

Selepas diperkenalkan di pentas Pestapora, Adu Pandang kemudian menemui pendengar secara rasmi dengan membawakan pendekatan muzik yang ringan, romantis dan mudah dinikmati.

Tidak memerlukan kisah cinta yang rumit. Tidak juga memerlukan ungkapan yang berlebihan.

Sebaliknya, Rizky memilih satu momen kecil yang dekat dengan pengalaman ramai, iaitu ketika mata bertemu, hati mula tertanya-tanya dan perasaan perlahan-lahan tumbuh.

Menerusi Adu Pandang, penyanyi Indonesia itu menggambarkan rasa cinta yang bermula daripada tatapan sebelum berkembang menjadi perasaan malu dan gugup apabila berhadapan dengan individu yang menarik perhatian.

Daripada rasa ingin tahu, muncul pula keinginan untuk segera meluahkan isi hati kerana tidak mahu membiarkan perasaan yang semakin kuat berlaru begitu sahaja.

Tema yang sederhana itu menjadikan Adu Pandang dekat dengan pendengar, khususnya mereka yang pernah melalui fasa menyimpan rasa dan tertanya-tanya sama ada perasaan tersebut turut dirasai oleh individu yang diminati.

Bukan sekadar menyanyikan karya berkenaan, Rizky turut terlibat secara langsung dalam proses penghasilannya apabila bersama-sama Farrell Arriega dan Gloria Jessica menghasilkan lirik lagu tersebut.

Belanegara Abe bertindak sebagai penerbit, manakala susunan muzik serta arahan vokal dikendalikan oleh Bersena Bestandhi.

Bergerak dalam genre R&B atau soul, Adu Pandang hadir dengan pendekatan muzik yang ringan dan mudah dinikmati, selari dengan kisah romantis yang diketengahkan.

Lagu itu juga mula mendapat perhatian apabila video liriknya ditayangkan menerusi saluran YouTube Rizky Febian.

Sehingga 28 September lalu, video lirik Adu Pandang meraih lebih 140,000 tontonan menerusi platform berkenaan.

Namun, kemunculan karya baharu itu bukan satu-satunya perkara yang bakal menemukan Rizky dengan peminatnya.

Selepas kembali menyapa pendengar menerusi Adu Pandang, Rizky kini bersedia kembali ke Kuala Lumpur menerusi konsert Malam Rawan, Diorama by Rizky Febian: Live in Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada 29 November ini di Zepp Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur bukanlah lokasi baharu bagi penyanyi berkenaan. Pada 20 Oktober 2022, Rizky pernah mengadakan konsert sulungnya di Malaysia yang menyaksikan kehadiran lebih 2,400 peminat.

Dalam persembahan tersebut, beliau membawakan 16 lagu, termasuk Kesempurnaan Cinta, Cuek, Makna Cinta, Terlukis Indah dan Hingga Tua Bersama.

Kembali ke lokasi yang sama tahun ini, Rizky dijangka membawakan himpunan lagu popularnya selain berkongsi pengalaman serta sisi peribadi dalam perjalanan muziknya bersama peminat.

Bagi mereka yang mahu menyaksikan persembahan itu secara langsung, harga tiket ditawarkan antara RM228 hingga RM248 mengikut kategori.

Tiket CAT 1 dijual pada harga RM228, CAT 3 berharga RM238, manakala CAT 2 pula berharga RM248. Penjualan tiket bermula pada 18 September lalu.

Bagi Rizky, kepulangannya ke Kuala Lumpur mempunyai makna tersendiri kerana Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam perjalanan muziknya.

“Saya sangat gembira dapat kembali bertemu dengan peminat di Kuala Lumpur. Malaysia sentiasa mempunyai tempat yang istimewa dalam perjalanan muzik saya.

“Saya tahu ramai yang sudah menantikan peluang untuk bernyanyi bersama-sama dan kali ini saya ingin memberikan sebuah persembahan yang bukan sahaja menghiburkan, malah turut meninggalkan kenangan istimewa buat semua yang hadir,” katanya.

Malam Rawan, Diorama by Rizky Febian: Live in Kuala Lumpur dibawakan oleh Kumho International dan dianjurkan oleh AM Entertainment dengan kerjasama RSI Solusi Indonesia.

Daripada lagu yang pertama kali diperdengarkan di pentas Pestapora, Adu Pandang kini menemui pendengar menerusi platform digital sebelum dibawa bersama Rizky ke Kuala Lumpur.

Jika lagu itu bercerita tentang debaran ketika mata bertemu, pentas Zepp Kuala Lumpur nanti pula bakal menjadi ruang untuk Rizky kembali bertentang mata dengan peminat yang selama ini mengikuti perjalanan muziknya.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU