RM100 untuk membantu mengatasi kos sara hidup yang semakin tinggi kini memang tidak cukup.
Untuk seorang pun tidak cukup, apatah lagi bagi pasangan suami isteri yang mempunyai ramai anak.
Malah, kalau kita diberi banyak pun bantuan wang ringgit, ia tetap juga tidak mencukupi.
Selagi kita bernama manusia, memang kita tikan berasa puas dan rasa cukup dalam apa-apa perkara.
Ada-ada sahaja yang hendak dibeli. Atas sebab itu, ada yang memandang remeh Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sekali bayar sebanyak RM100 seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada jam 10.30 pagi Rabu lalu.
Malah, ada orang politik yang menganggap Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia itu sebagai “gula-gula” untuk rakyat.
Ada yang mengatakan untuk mendapatkan undi, serta melarikan isu panas yang melanda negara sekarang.
Hinggakan Anwar memaklumkan, “Jangan memandang remeh bantuan tunai tambahan sebanyak RM100 kepada warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas menerusi program SARA.
Jumlah itu mungkin dianggap kecil bagi yang berpendapatan tinggi, tetapi amat bermakna kepada rakyat luar bandar dan golongan berpendapatan rendah”. Ini ada benarnya. Bagi mereka yang amat memerlukan, RM100 yang ditebus melalui MyKad itu boleh dianggap sebagai rezeki.
Banyak juga keperluas asas terutama makanan dapat dibeli jika bijak menguruskan RM100 itu.
Sekurang-kurangnya sebuah keluarga akan mendapat RM200 (RM100 suami dan RM100 isteri). Jika mempunyai dua anak sudah berusia 18 tahun ke atas, bermakna sebuah keluarga akan mendapat RM400.
Dan, dengan RM100 itu, dua kampit beras 10 kilogram dapat dibeli.
Dianggarkan berharga RM30 untuk satu kampit (RM60 untuk dua kampit).
Baki RM40 lagi dapat digunakan untuk membeli dua kilogram gula, dua atau tiga peket minyak masak (satu kilogram satu peket).
Itu mungkin dibelanjakan oleh suami. Si isteri pula dapat berbelanja perkara lain dengan RM100 untuk mendapatkan keperluan dapur — ayam, daging, ikan, makanan di dalam tin, bawang, ikan bilis, serbuk perasa, kicap dan banyak lagi.
Dan, dengan dengan bertambahnya Jualan Rahmah di 600 kawasan Dewan Undangan Negeri seluruh negara, maka makin banyak keperluan dapur dapat dibeli, sebab barang yang dijual adalah di bawah harga pasaran.
Bagi yang rajin ke sana ke sini pula, boleh pergi ke banyak lokasi yang menganjurkan Jualan Rahmah untuk mendapatkan barang keperluan asas pada harga murah.
Atas sebab itu, ada juga yang mengharapkan Jualan Rahmah tidak dihadkan untuk penduduk sesebuah kawasan Dewan Undangan Negeri sahaja.
Bagi memenuhi keperluan di dapur, dapat diperhatikan setiap lokasi Jualan Rahmah diserbu oleh ramai orang pelbagai kaum.
Tidak mengejutkan apabila ada individu yang mempunyai perniagaan besar juga mendapatkan keperluan asas di lokasi Jualan Rahmah.
Mereka ini bersama-sama yang lain berebut mendapatkan giliran, walaupun terpaksa berbaris panjang. Ini petanda pentingnya Jualan Rahmah kepada rakyat.
Awas penipu Setelah diumumkan tentang bantuan-bantuan ini Rabu lepas, sepantas kilat scammer turut bekerja.
Mereka juga mengikut rapat pengumuman penghargaan untuk rakyat ini.
Mereka cuba untuk mengaut keuntungan daripada RM100 yang diberikan kepada setiap rakyat Malaysia ini. Terbeliak mata scammer melihat 22 juta rakyat Malaysia akan menerima RM100 seorang yang membabitkan peruntukan RM2 bilion.
“Wow! RM2 bilion. Boleh dapat banyak untung!”
Mungkin ini yang disebut-sebut oleh scammer ini. Dan semalam, dalam kumpulan WhatsApp taman perumahan, saya terbaca satu amaran daripada seorang penduduk.
“Kalau terima mesej macam ni. Tolong jangan click in. Laju betul scammer ini buat kerja.”
Mesej ini yang kononnya hendak membantu sesiapa sahaja yang ingin menyemak kelayakan menerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) melalui MyKad. Tidak perlu untuk membuat semakan kerana bantuan ini diberikan kepada 22 juta penduduk Malaysia yang mempunyai MyKad.
Dan, juga diberikan kepada mereka yang berusia 18 tahun ke atas yang mempunyai MyKad. Kalau nak juga buat semakan, buat semakan di 4,100 kedai termasuk pasar raya utama seperti Mydin, Lotus, Econsave dan 99Speedmart serta kedai runcit di semua daerah seluruh negara yang menyediakan perkhidmatan menebus RM100 melalui MyKad.
Harus kita ingat, scammer ini bukan sekadar mahu mencuri RM100 daripada MyKad kita, tetapi juga apa-apa sahaja yang ada dalam di akaun bank kita.
Sebab, link yang yang kita klik boleh memberikan akses kepada scammer untuk mengakses akaun bank kita melalui telefon bimbit milik kita sendiri.
Jadi, kita harus waspada akan perkara ini, kerana kita yang akan rugi, sebaliknya scammer akan untung besar.
Jangan anggap kita bijak, sebab mungkin penipu ini lebih bijak.
Mereka juga belajar “perkara baharu” (cara-cara menipu) setiap hari.
Kita juga jangan tertipu dengan diri sendiri apabila mengetahui ada RM100 dalam MyKad.
Pastikan hanya membeli barang yang diperlukan sahaja.
Dan, bagi mereka yang memperlekeh bantuan itu, jangan dibelanjakan sebab duit itu akan kembali kepada kerajaan untuk diagihkan semula tahun akan datang.
Begitu juga kepada mana-mana individu yang berasakan mereka tidak perlukan wang itu. Mungkin cadangan Pengarah Urusan Pasar Raya Besar Mydin, Ameer Ali Mydin boleh dipertimbangkan.
Memetik FMT, Ameer mencadangkan golongan yang berkemampuan boleh menggunakan bantuan RM100 itu untuk membantu golongan lain yang lebih memerlukan.
Jelasnya, golongan yang mampu ini boleh menggunakan bantuan SARA untuk membeli kotak bantuan barangan dan makanan asas untuk diagihkan kepada sesiapa yang memerlukan.
Jadi, daripada tidak dibelanjakan, lebih baik beli barang keperluan asas, kemudian sedekahkan
kepada sesiapa yang dilihat amat memerlukan.
Sekurang-kurangnya ada juga sumbangan orang kaya kepada golongan yang memerlukan bagi memastikan ada makanan di atas meja mereka.



