KUALA LUMPUR: Pemakaian pelitup muka akan diwajibkan di tempat awam dan pengangkutan awam yang sesak bermula 1 Ogos ini.
Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, orang ramai boleh didenda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhi peraturan terbaharu itu.
“Keputusan ini dibuat semasa Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya pada sidang media perkembangan PKP Pemulihan (PKPP) di Bangunan Parlimen di sini, semalam.
Ismail berkata, keputusan tersebut mengambil kira penambahan kluster-kluster baharu yang telah dikenal pasti, selain atas nasihat KKM.
Beliau berkata, pada masa ini, peraturan tersebut hanya dikuatkuasakan bagi menaiki semua kenderaan awam seperti LRT, MRT serta bas dan di tempat sesak seperti pasar dan pasar tani.
Sementara itu beliau berkata, spesifikasi bagi mereka yang mahu menjahit pelitup separuh muka sendiri akan dikeluarkan oleh KKM dalam media bagi memastikan pelitup muka yang dihasilkan itu menepati syarat ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Kerajaan selama ini tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka kerana memahami keadaan mereka yang berpendapatan rendah untuk membeli pelitup muka pakai buang.
“Untuk pakai buang ini, yang terbaik pakai untuk tiga jam dan tukar, jika keluarga besar tentu tanggungan besar, jadi WHO keluarkan peraturan boleh pelitup muka biasa tetapi ada spesifikasinya,” kata beliau. – Bernama



