RM400,000 ganti kemusnahan vandalisme

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) membelanjakan RM400,000 hanya untuk kemudahan miliknya ekoran tindakan vandalisme segelintir warga kota.

Menurut Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, kemudahan seperti besi penutup longkang sering dicuri segelintir warga kota yang tidak bertanggungjawab.

“Bayangkan kalau wang sebanyak RM400,000 ini digunakan untuk mengindahkan bandar raya Kuching, ia lebih menguntungkan.

“Akibat perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir warga kota, kita membelanjakan wang agak banyak untuk menggantikan kerosakan kemudahan sedia ada,” katanya kepada Suara Sarawak semalam.

Oleh itu, beliau menggesa peranan orang ramai melaporkan sebarang perbuatan vandalisme yang dilakukan oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya menggesa orang ramai menangkap gambar dan melaporkan kepada kita sekiranya terjumpa dengan individu mencuri besi longkang, menconteng dan sebagainya.

“Kesedaran seumpama ini harus diterapkan dalam usaha kita mengekang gejala vandalisme,” jelasnya. Katanya, tahun ini adalah ulang tahun ke-31 Hari Bandaraya Kuching tetapi sekiranya mentaliti warganya tidak berubah, maka, pembangunan fizikalnya tidak seiring.

“Masyarakat harus mempunyai kesedaran yang tinggi untuk menjadi duta kecil bagi menyokong DBKU memperindahkan kawasan sekelilingnya.

“Selepas 31 tahun ini, saya menggesa warga kota supaya bersikap seperti ‘orang dewasa’ dari segi tindakan dan mentaliti,” ujarnya.