KUCHING: 22 finalis terdiri daripada 10 peserta Anugerah Carta Lagu Bidayuh (ACLB) dan 12 peserta Anugerah Carta Sapa Juara (ACSJ) bakal berentap buat julung kalinya dalam Anugerah Carta Lagu Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak.
Ketua Penolong Pengarah Kejuruteraan TVnya, Azmi Ahmad berkata, ACLB edisi kesembilan yang akan diadakan pada Jumaat depan bakal menampilkan lima kategori dengan hadiah wang tunai bernilai RM13,000 secara keseluruhan.
“Juara akan menerima RM5,000 dan trofi, diikuti naib juara RM3,000 dan trofi, tempat ketiga RM2,000 dan trofi, seterusnya vokal terbaik RM1,000 dan trofi, lagu paling popular RM1,000 dan sagu hati RM1,000 dan juga trofi,” katanya.
Manakala bagi kategori ACSJ yang akan diadakan pada Sabtu, 28 Oktober ini, beliau menegaskan sebanyak tujuh kategori akan dipertandingkan dengan tawaran hadiah wang tunai sebanyak RM32,000 secara keseluruhan.
“Juara akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000 beserta trofi, naib juara mendapat RM8,000 dan trofi diikuti tempat ketiga menerima RM5,000 dan trofi.
“Vokal terbaik akan menerima RM1,000 dan trofi, diikuti lirik terbaik menerima RM1,000 dan trofi, finalis paling popular mendapat RM500 dan trofi, sagu hati bagi solo mendapat RM2,000 dan trofi, manakala berkumpulan akan mendapat RM5,000 beserta trofi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media program di Auditorium Kecil RTM Kuching sambil mengesahkan kedua-dua program akan berlangsung di pekarangan tempat letak kereta Gate C, RTM Kuching, hari ini.
Menurutnya, program terbabit bertujuan mengetengahkan penglibatan penyanyi, pencipta lagu dan penulis lirk bagi ACLB dan ACSJ.
“Sekali gus diharap mampu menjadi penanda aras kepada industri muzik Dayak khususnya lagu Bidayuh dan juga Iban,” ujarnya.
Malam kemuncak kedua-dua anugerah itu dapat ditonton menerusi saluran Facebook rasmi WAIfm Bidayuh dan WAIfm Iban, RTM Klik dan saluran radio masing-masing.
Beliau turut menyeru orang ramai untuk hadir bersama-sama bagi memeriahkan kedua-dua acara dengan tidak mengenakan syarat kemasukan kepada para pengunjung.
Antara peserta finalis yang akan berentap ialah Dino Calstino Lanim (ACLB), Amy Disien (ACLB), Allesandro (ACSJ), dan Ramles Walter (ACSJ).
Karnival Jualan anjuran Kelab Rekreasi RTM Kuching turut diadakan bermula 25 hingga 28 Oktober dan dijangka sebanyak lima buah trak makanan dan 30 vendor akan dibuka di sepanjang lokasi program.


