ARTIKEL

Julaihi mengadakan lawatan kerja ke projek pembinaan tangki takungan air dan kerja-kerja berkaitan di Matang. | Foto: MUT

RM6.46 bilion perkukuh bekalan air Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM6.46 bilion bagi melaksanakan 361 projek bekalan air di seluruh negeri di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) dan pembiayaan alternatif, dengan 338 projek atau 94 peratus sudah siap atau sedang dalam pembinaan.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri memperkukuh infrastruktur bekalan air bagi meningkatkan liputan serta memastikan bekalan air bersih, terawat dan berterusan kepada rakyat.

“Daripada jumlah keseluruhan, sebanyak RM662.7 juta diperuntukkan bagi 2026, manakala liputan bekalan air keseluruhan Sarawak kini mencapai 86.1 peratus dan kawasan luar bandar mencatatkan 72 peratus.

Julaihi mengadakan lawatan kerja ke projek pembinaan tangki takungan air dan kerja-kerja berkaitan di Matang. | Foto: MUT

“Kerajaan Sarawak turut membangunkan sistem grid air menerusi Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak, yang merangkumi pembinaan serta naik taraf 32 loji rawatan air utama dan pembangunan saluran paip sepanjang 2,934 kilometer dari wilayah selatan hingga utara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Projek Pembinaan Tangki Takungan Air dan Kerja-Kerja Berkaitan di Matang, Kuching, yang dilaksanakan oleh Sarawak Water, di sini, semalam.

Mengulas projek berkenaan, Julaihi berkata ia melibatkan pembinaan dua tangki takungan aras pertengahan berkapasiti 33 juta liter setiap satu dan sebuah tangki aras tinggi berkapasiti sembilan juta liter, menjadikan kapasiti simpanan keseluruhan 75 juta liter.

Julaihi mengadakan lawatan kerja ke projek pembinaan tangki takungan air dan kerja-kerja berkaitan di Matang. | Foto: MUT

“Setakat ini, pembinaan tangki aras pertengahan mencapai kemajuan fizikal 64.5 peratus, mendahului jadual, manakala tangki aras tinggi mencatatkan kemajuan 31 peratus.

“Projek ini turut merangkumi kerja menaik taraf sistem pam penggalak dan pemasangan saluran paip,” jelasnya.

Tambahnya, kemudahan berkenaan penting untuk meningkatkan kapasiti penyimpanan dan pengagihan air terawat ke kawasan utara Kuching, termasuk Petra Jaya, Samariang, Bako, Santubong, Rambungan, Sampadi, Stoh, FAC Matang serta sebahagian Samajaya.

Dalam usaha memastikan penduduk pedalaman dan kawasan terpencil yang tidak diliputi sistem grid turut menikmati bekalan air, Julaihi berkata Kerajaan Sarawak melaksanakan program Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS), yang setakat ini memberi manfaat kepada kira-kira 2,600 isi rumah di 79 kampung dan rumah panjang.

Jelas beliau, program itu akan diperluas secara berperingkat kepada kira-kira 1,300 lagi kampung dan rumah panjang, manakala Fasa Ketiga di Bahagian Sarikei kini berada pada peringkat awal pelaksanaan.

Selain itu, beliau memberitahu kerajaan negeri memperuntukkan RM1.1 bilion bagi program menaik taraf dan menggantikan paip air lama serta uzur sepanjang 2,740 kilometer bagi menambah baik rangkaian pengagihan dan mengurangkan kehilangan air tidak berhasil (NRW).

“Daripada keseluruhan projek berkenaan, 44 sudah siap, 38 sedang dalam pembinaan dan 140 lagi berada pada peringkat prakontrak, dengan semua baki projek disasarkan memulakan pembinaan menjelang suku kedua 2027,” ujarnya.

Justeru, Julaihi menegaskan kerajaan Sarawak akan terus memberikan keutamaan kepada pembangunan sistem bekalan air secara menyeluruh, merangkumi sumber air mentah, loji rawatan, rangkaian paip utama, stesen pam penggalak, tangki simpanan dan sistem retikulasi.

“Pelaksanaan Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak memerlukan masa, namun kemajuan positif sedang dicapai dan kerjasama semua pihak penting bagi memastikan kejayaannya demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan negeri,” katanya.

BERITA LAIN

SAINS perlu teroka teknologi baharu

KUCHING: Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS) perlu terus meneroka teknologi baharu bagi memastikan Sarawak bukan sekadar menjadi pengguna, malah mampu muncul sebagai pencipta teknologi.

BERITA TERBARU