KUCHING: Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) Long Busang, Kapit bernilai RM9 juta akan memulakan kerja pembinaan pada Januari 2026, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan itu menambah, PPKB SK Beradek di Kuching bernilai RM8.5 juta dijangka siap pada Mac 2026.
“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah meluluskan dua PPKB kekal bagi menyediakan kemudahan pemindahan selamat di kawasan yang mudah dilanda banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak ke-19, di sini, hari ini.
Beliau menambah, Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengisytiharkan Monsun Timur Laut 2025/2026 bermula 13 November dan dijangka berlanjutan sehingga Mac 2026 yang mungkin menyebabkan banjir di beberapa kawasan di seluruh Sarawak.
“Semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (DDMC) telah diletakkan dalam keadaan siap siaga dan semua aset sokongan bersedia. Saya ingin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“Sila beri perhatian kepada amaran cuaca oleh Jabatan Meteorologi dan patuhi arahan pihak berkuasa berkaitan. Ini penting untuk keselamatan komuniti yang berisiko,” katanya.
Selain itu, beliau menjelaskan NADMA telah menyediakan peruntukan operasi untuk tindak balas bencana yang disalurkan kepada semua DDMC bagi menyokong tindakan pantas di lapangan.
Kerajaan Sarawak turut menyokong usaha ini melalui Tabung Amanah Bencana Negeri Sarawak, Dana Tindak Balas Kecemasan dan Dana Bantuan Kerja Kecemasan Kecil untuk menampung perbelanjaan lain berkaitan bencana serta membaik pulih infrastruktur awam yang rosak.
“Penyediaan dana ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan daya tahan komuniti, memulihkan infrastruktur penting dan memastikan hidup lebih selamat bagi penduduk yang terjejas bencana di seluruh Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, sejumlah 25,985 ketua isi rumah layak menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) bagi Monsun Timur Laut 2024/2025 berjumlah RM25.99 juta. Dana telah disalurkan kepada DDMC untuk diagihkan.
Manakala 2,779 ketua isi rumah telah diluluskan untuk Bantuan Ehsan Kebakaran Rumah (BEKR) berjumlah RM171.5 juta untuk membina semula rumah mereka dan menyediakan tempat tinggal bagi keluarga masing-masing.



