ARTIKEL

Dr. Lee Kuok Tiung

Rombakan Kabinet Strategi Baki Separuh Penggal Kerajaan MADANI

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Rombakan Kabinet Kerajaan MADANI dilihat sebagai satu strategi politik menjelang separuh penggal pentadbiran kerajaan dan bukan sekadar bertujuan mengisi kekosongan jawatan, kata Penganalisis Politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Lee Kuok Tiung.

Menurut beliau, langkah itu juga boleh ditafsirkan sebagai respons terhadap penelitian awam berhubung prestasi Kabinet, selain usaha untuk memulihkan imej serta kredibiliti pentadbiran yang kebelakangan ini berdepan pelbagai kritikan.

“Rombakan itu turut boleh ditafsirkan sebagai reaksi terhadap prestasi kurang memberangsangkan parti-parti nasional dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah baru-baru ini.

“Tekanan tersebut turut dipengaruhi oleh kemerosotan sokongan politik, perubahan barisan kepimpinan parti komponen Parti Keadilan Rakyat (PKR), serta rentetan pergolakan dalaman yang melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN),” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa PH kehilangan tiga portfolio menteri susulan peletakan jawatan oleh penyandangnya, sekali gus menjadikan rombakan Kabinet sebagai langkah bagi menyeimbangkan kepentingan antara PH dan BN.

“Pertamanya, terdapat empat kekosongan portfolio menteri yang perlu diisi iaitu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang sebelum ini disandang Datuk Ewon Benedick; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; serta Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang telah meletak jawatan.

“Manakala satu lagi kekosongan melibatkan portfolio Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri apabila penyandangnya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menamatkan tempoh perkhidmatan sebagai Senator,” ujarnya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi sidang media khas pengumuman Anggota Kabinet Kerajaan MADANI, hari ini mengumumkan rombakan Kabinet yang menyaksikan 27 menteri dan timbalan menteri terlibat dalam pertukaran portfolio serta lantikan baharu.

Rombakan itu turut melibatkan lima Ahli Parlimen Sarawak, termasuk tiga timbalan menteri yang bertukar portfolio. Datuk Lukanisman Awang Sauni yang sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Menteri Kesihatan, kini dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri.

Datuk Hanifah Hajar Taib pula ditukar daripada jawatan Timbalan Menteri Ekonomi kepada Timbalan Menteri Kesihatan, sekali gus menggantikan Lukanisman. Selain itu, Datuk Seri Huang Tiong Sii ditukar portfolio daripada Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim kepada Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi.

Dua lantikan baharu turut melibatkan Ahli Parlimen Sarawak apabila Chiew Choon Man diamanahkan memegang jawatan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, manakala Mordi Bimol dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Wanita maut dalam kemalangan di Batu Niah

MIRI: Seorang wanita berusia 24 tahun maut selepas kereta dipandunya dipercayai merempuh belakang sebuah lori di Jalan Pan Borneo, berhampiran Simpang WTK, Batu Niah, pagi