ARTIKEL

Gambar hiasan

RON95 antara tekanan global

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, masyarakat Malaysia hangat memperkatakan isu pengurangan had subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif BUDI MADANI daripada 300 liter kepada sekitar 200 liter sebulan.

Di media sosial, pelbagai reaksi dilontarkan – ada yang marah, ada yang keliru dan tidak kurang juga yang terus menyalahkan kerajaan tanpa memahami keseluruhan gambaran.

Namun, persoalannya, benarkah keputusan ini semata-mata kelemahan dasar kerajaan? Atau sebenarnya, adakah ia merupakan refleksi terhadap tekanan global yang semakin tidak menentu?

Hakikat yang perlu difahami ialah isu RON95 hari ini tidak lagi boleh dilihat sebagai isu domestik semata-mata. Isu ini berkait rapat dengan geopolitik dunia, khususnya konflik di Asia Barat yang melibatkan ketegangan antara Israel dengan Iran. Konflik ini bukan sekadar isu politik atau ketenteraan, tetapi turut memberi kesan langsung terhadap bekalan tenaga global.

Selat Hormuz, sebagai contoh, merupakan laluan strategik utama bagi penghantaran minyak dunia. Apabila kawasan ini terjejas akibat konflik, rantaian bekalan minyak global turut terganggu.

Akibatnya, harga minyak mentah meningkat dengan ketara, malah dianggarkan meningkat sehingga sekitar 40 peratus dalam tempoh tertentu. Kenaikan ini bukan sesuatu yang boleh dikawal oleh mana-mana negara secara individu, termasuk Malaysia.

Malaysia, walaupun mempunyai industri minyak dan gas, masih bergantung pada import bagi produk petroleum tertentu. Hal ini bermakna apabila harga minyak dunia meningkat, kos yang ditanggung negara turut meningkat.

Dalam keadaan ini, kerajaan berdepan dilema besar – sama ada mengekalkan subsidi secara besar-besaran dengan kos yang semakin membebankan atau menyusun semula subsidi agar lebih bersasar.

Di sinilah konsep BUDI MADANI RON95 diperkenalkan. Melalui pendekatan ini, kerajaan masih mengekalkan harga subsidi untuk rakyat pada sekitar RM1.99 seliter walaupun harga sebenar pasaran lebih tinggi. Ini bermakna kerajaan sebenarnya masih menanggung sebahagian besar kos bagi memastikan rakyat tidak terlalu terbeban.

Namun, apabila harga minyak dunia terus meningkat akibat konflik geopolitik, kos subsidi juga meningkat secara mendadak. Dalam keadaan ini, mengekalkan had subsidi pada tahap tinggi seperti 300 liter untuk semua pengguna bukan lagi satu pilihan yang mampan dalam jangka panjang.

Pengurangan had kepada 200 liter bukan bertujuan untuk “menyusahkan rakyat”, tetapi lebih kepada memastikan subsidi sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan, serta mengelakkan pembaziran dan penyalahgunaan.

Hakikatnya, majoriti rakyat Malaysia sebenarnya tidak menggunakan petrol sehingga 300 liter sebulan. Oleh itu, pengurangan ini lebih memberi kesan kepada pengguna berat atau pihak yang berpotensi menyalahgunakan subsidi.

Lebih penting, langkah ini juga membantu kerajaan mengawal perbelanjaan negara. Dianggarkan pelaksanaan subsidi bersasar seperti BUDI95 mampu menjimatkan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun, bergantung pada harga minyak dunia. Penjimatan ini boleh disalurkan kepada sektor lain seperti pendidikan, kesihatan dan bantuan sosial yang lebih menyeluruh.

Namun, cabaran terbesar bukanlah pada dasar itu sendiri, tetapi pada tahap kefahaman masyarakat. Dalam era media sosial, maklumat yang separuh benar mudah tersebar dan mencetuskan persepsi negatif. Ada yang menganggap kerajaan “mengurangkan minyak”, sedangkan realitinya kerajaan masih menanggung subsidi yang besar. Ada juga yang menyangka harga minyak sengaja dinaikkan tanpa menyedari harga tersebut bergantung pada pasaran global.

Kita perlu jujur dalam menilai keadaan ini. Dalam dunia yang semakin tidak stabil, tiada negara yang mampu mengekalkan subsidi secara mutlak tanpa had. Malah, negara lain juga berdepan dengan kenaikan harga bahan api yang jauh lebih tinggi tanpa perlindungan subsidi seperti di Malaysia.

Kerajaan Malaysia, dalam konteks ini, sebenarnya masih cuba menyeimbangkan antara tanggungjawab fiskal dengan kebajikan rakyat. Walaupun berdepan tekanan harga minyak global, kerajaan masih mengekalkan harga subsidi RON95 pada kadar rendah untuk rakyat. Ini menunjukkan perlindungan terhadap rakyat masih menjadi keutamaan.

Namun, rakyat juga perlu memainkan peranan dengan memahami setiap dasar mempunyai sebab dan konteksnya. Menyalahkan kerajaan secara menyeluruh tanpa mengambil kira faktor global hanya akan menutup ruang kepada perbincangan yang lebih matang.

Yang berlaku hari ini merupakan satu pengajaran penting bahawa ekonomi negara tidak wujud dalam ruang vakum. Ekonomi ini sentiasa terikat dengan perkembangan dunia. Peperangan di Timur Tengah, ketegangan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan semuanya memberi kesan langsung terhadap kehidupan seharian kita, termasuk harga minyak yang kita isi di stesen petrol.

Akhirnya, isu RON95 ini bukan sekadar tentang angka 200 liter atau 300 liter. Isu ini melibatkan cara sesebuah negara mengurus sumber yang terhad dalam dunia yang tidak menentu. Ia juga melibatkan cara rakyat memahami dan menilai dasar secara lebih rasional, bukan sekadar beremosi.

Dalam keadaan dunia yang semakin kompleks, mungkin sudah tiba masanya kita bertanya semula sama ada kita benar-benar memahami punca sesuatu isu atau sekadar mencari pihak untuk dipersalahkan. Hal ini demikian kerana dalam realiti hari ini, tidak semua masalah berpunca dari dalam negara. Ada kalanya, jawapannya terletak jauh di luar sempadan kita.

BERITA LAIN

Jambatan mudahkan perjalanan pulang

Setiap kali musim perayaan tiba, perjalanan pulang ke kampung menjadi antara perkara yang paling dinantikan, terutama bagi mereka yang bekerja jauh dari kampung halaman. Namun,

Peperiksaan medan bina diri

Peperiksaan merupakan salah satu perkara penting dalam kehidupan seorang pelajar. Peperiksaan bukan sekadar mengukur sejauh mana seseorang menguasai ilmu yang dipelajari, malah menjadi medan untuk

BERITA TERBARU