MUKAH: Pelbagai cabaran di lapangan tidak menghalang usaha memperkukuh pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara wakil rakyat, agensi pelaksana dan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, cabaran berkaitan pelaksanaan projek pembangunan perlu ditangani melalui perbincangan dan penyelesaian bersama tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak.
“Antara cabaran yang dihadapi termasuk isu tanah, halangan daripada penduduk, masalah di peringkat agensi pelaksana serta kontraktor yang boleh menjejaskan kelancaran sesuatu projek,” katanya.
“Apabila timbul masalah, menuding jari bukanlah jalan penyelesaian, sebaliknya kita perlu berunding dan memikirkan kaedah yang sesuai untuk menyelesaikannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Townhall Rakyat Bersama ADUN N57 Tellian sempena Hari Bersama Komuniti UKAS, di Dewan Seri Pekala, semalam.
Sehubungan itu, Royston turut menegaskan, pendidikan dan pembangunan sosioekonomi merupakan antara dua perkara utama yang diberi perhatian sejak beliau dipilih sebagai wakil rakyat pada 2021.
Ujarnya, pelbagai inisiatif pendidikan telah dilaksanakan sejak 2022 bagi membantu pelajar dari kawasan DUN Tellian, termasuk bantuan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi.
“Usaha memperkasakan pendidikan merupakan proses berterusan yang perlu dinilai berdasarkan perkembangan dan pencapaian pelajar dari semasa ke semasa,” katanya.
“Matlamat saya untuk memperkasakan pendidikan bukanlah sesuatu yang boleh dikatakan berjaya 100 peratus; ia masih dalam proses, tetapi saya yakin menunjukkan perkembangan yang positif,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Royston menegaskan masyarakat perlu terus memainkan peranan dengan mengemukakan permohonan, pandangan dan cadangan berkaitan keperluan di kawasan masing-masing.
“Townhall seperti ini bukan sekadar tempat untuk kita menyatakan masalah, tetapi juga ruang untuk kita berbincang dan mengemukakan idea yang boleh dilaksanakan bagi membangunkan kawasan kita,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Seksyen Pentadbiran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Anwar Hanafi Ardimansyah berkata, pendekatan turun padang terus menjadi medium penting dalam memastikan dasar, inisiatif dan perkhidmatan kerajaan dapat disampaikan secara lebih dekat dan berkesan kepada masyarakat.
“Pendekatan seperti ini turut memberi peluang kepada masyarakat mengemukakan pandangan, cadangan, pertanyaan dan maklum balas secara langsung kepada agensi kerajaan yang terlibat,” katanya.
“Dengan adanya komunikasi dua hala seperti ini, ia membolehkan maklumat kerajaan disampaikan dengan lebih jelas, selain memberi ruang kepada pihak berkaitan memahami keperluan serta aspirasi masyarakat di lapangan,” katanya.



