SERIAN: Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang memandang serius usaha untuk membantu sebuah keluarga di Kampung Lubok Ria di sini dengan
mencari penyelesaian terbaik bagi membolehkan mereka memiliki kediaman yang lebih selesa dan kondusif.
Menurutnya, inisiatif tersebut penting kerana beliau melihat keadaan rumah tempat tinggal milik Ismail Abdullah dan keluarganya memerlukan perhatian segera.
“Jika kita melihat keadaan rumah mereka, hati rasa tersentuh dan sebak. Saya memikirkan bagaimana mereka tinggal dalam keadaan tersebut.
“Jadi, saya memang berhasrat untuk mencuba sedaya upaya membantu mereka sekeluarga mendapatkan rumah yang lebih baik, selesa dan kondusif untuk didiami,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya, hari ini.

Mengulas lanjut, Rubiah yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menambah, tanah yang diduduki keluarga tersebut pada asalnya merupakan tanah tumbuh atau terbentuk dari kawasan Sungai Samarahan, namun kini kawasan itu menjadi semakin cetek.
Menurut beliau, sekiranya urusan berkaitan tanah berkenaan dapat diselesaikan, tidak menjadi masalah untuk pihaknya membantu membina rumah bagi keluarga tersebut.
“Insya-Allah, jika urusan tanah ini dapat diselesaikan, tiada halangan untuk bantuan pembinaan rumah diusahakan. Bersama-samalah kita berdoa agar segala urusan keluarga ini dalam mengatur kawasan tanah tersebut dipermudahkan,” ujarnya.
Terdahulu, beliau juga berkesempatan untuk menyantuni sekali gus berziarah ke kediaman keluarga Ismail bagi bertanya khabar tentang keadaan mereka.
Rubiah memaklumkan, Ismail dan pasangannya dikurniakan tiga cahaya mata dan kini tinggal dalam keadaan rumah yang serba kekurangan.
“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Saya berharap agar semua urusan mereka dipermudahkan dan diberikan kekuatan dalam menempuh dugaan ketika ini.
“Moga sumbangan kecil yang disampaikan hari ini dapat membantu mereka sekeluarga membuat sedikit persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri kelak,” jelasnya.



