RUMAH bukan sekadar keperluan asas untuk berteduh, berlindung dan menenangkan jiwa serta minda, tetapi juga aset masa depan yang cukup bernilai.
Oleh itu, ada yang mempunyai lebih daripada sebuah rumah, malah ada yang memiliki tiga hingga lima buah rumah.
Bagi yang berkemampuan, ia bukanlah halangan, kerana ia adalah salah satu kepuasan dalam kehidupan, apatah lagi setelah bertahun-tahun ‘membanting tulang’, dan memerah otak di tempat kerja.
Jadi, apa salahnya menunaikan impian, memiliki rumah tersergam indah, dengan landskap menarik, serta aksesori sedap mata memandang.
Manakala rumah yang lain untuk ahli keluarga atau disewa, sebagai sumber pendapatan ketika bersara.
Lagi pula, rumah adalah harta yang tidak pernah susut nilanya, malah semakin bertambah dari semasa ke semasa.
Ia juga sebagai aset untuk anakanak, kerana seorang ayah yang bertanggungjawab dan berkemampuan akan berusaha sedaya upaya untuk memudahkan urusan anak-anak pada masa akan datang.
Yang pasti, tidak semua yang ‘berteduh’ di dalam rumah sendiri, lebih-lebih lagi golongan B40 mahupun M40, yang mempunyai tanggungan ramai.
Ada yang masih tinggal di rumah mentua atau ibu bapa walaupun setelah bertahuntahun bekerja.
Malah ada yang masih tinggal di rumah sewa walaupun sudah hampir dua dekad bekerja.
Ada juga tiga hingga empat keluarga tinggal sekali gus di rumah pusaka, setelah keduadua ibu bapa meninggal dunia.
Tidak mampu dan tiada pilihan, mereka sanggup bersesak di dalam sebuah rumah.
Dalam keadaan ini, pasti sukar untuk mencapai ketenangan, lebih-lebih lagi setelah penat lelah pulang dari pejabat.
Jauh sekali untuk merasai nikmat ‘rumahku syurgaku’.
Keadaan pasti lebih sukar, ketika perintah berkurung, sepanjang wabak Covid-19 pada 2020 hingga awal 2021 yang lalu.
Bayangkan di dalam sebuah rumah kecil, tiga bilik yang dihuni tiga keluarga, sebuah keluarga sekitar empat hingga lima orang.
Ada yang tidur sehingga kaki mencecah masuk ke dalam bilik air.
Oleh itu, adalah tidak menghairankan ada kalangan remaja yang menjadikan rumah sebagai hotel, hanya tempat untuk tidur, mandi dan bertukar pakaian.
Mereka lebih banyak menghabiskan masa di luar rumah, gara-gara desakan ketidakselesaan.
Kadang-kadang kita terlupa, hanya memandang dari sudut negatif remaja suka keluar rumah, tanpa mengetahui latar belakang dan keadaan di rumah keluarganya.
“Tidak mampu, gaji kecil dan harga rumah yang sentiasa melambung” adalah alasan standard, untuk tidak mempunyai rumah sendiri hingga kini.
Ditambah lagi dengan urusan pembelian rumah yang agak rumit, misalnya kesukaran mendapatkan pinjaman, proses pembelian dan masalah pembayaran deposit.
Yang pasti, kurangnya pengetahuan tentang perbelanjaan, dan urusan kewangan menyebabkan ramai yang masih kempunan rumah sendiri.
Ada yang terperangkap, hanya kerana gaji tidak cukup, sebagai punca kegagalan membeli rumah sendiri.
Mereka juga kurang tahu, tentang bantuan daripada kerajaan.
Misalnya, inisiatif Kerajaan Sarawak melalui Skim Bantuan Deposit Perumahan (HDAS).
Kerajaan Sarawak akan menyalurkan bantuan deposit 10 peratus atau maksimum RM10,000 untuk pembelian rumah mampu milik bagi pembeli rumah pertama.
Malah ia tidak perlu dibayar balik.
Rakan saya yang hanya bekelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bekerja sebagai kerani biasa kini sudah pun mempunyai dua buah rumah pada usia 45 tahun.
Katanya; “Kalau ikutkan gaji memang saya tidak mampu untuk mempunyai rumah sendiri… tetapi ia terpulang kepada keinginan, dan cita-cita.
“Salah satu daripadanya ialah berjimat cermat, di samping bijak menjana pendapatan tambahan.
Pandai-pandailah simpan duit, dan pandai-pandailah cari duit. Kalau berbelanja ikutlah kemampuan,” ujarnya yang sudah pun menabung sejak kecil.
“Saya pernah hanya bermotosikal kapcai sepanjang 15 tahun, sedangkan rakan-rakan yang lain berkereta besar… namun itu sahaja cara saya untuk berjimat dan membantu keluarga,” katanya lagi.
Bagi penduduk di kawasan bandar dan separa bandar, bukan hanya harga melampau menjadi kekangan, tetapi juga lokasi yang kurang strategik, misalnya, berada di kawasan kerap banjir, agak jauh dari sekolah dan suasana yang kurang menarik.
Lima tahun yang lalu harga rumah teres dua tingkat di Sarawak adalah sekitar RM350,000, tetapi kini mencecah sehingga RM550,000 hingga RM1 juta.
Dengan peningkatan kadar inflasi menyaksikan kuasa beli rakyat terjejas teruk.
Pemilikan rumah sebagai pembelian barangan bernilai tinggi dilihat bukan lagi satu keutamaan.
Apa yang lebih penting ialah ada makanan di atas meja.
Menurut Pengurus Airbnb Malaysia Sheldon Fernandez, ketidakpastian ekonomi ketika usaha pemulihan endemik menyebabkan pembeli rumah yang berpotensi menangguhkan rancangan mereka, manakala ramai yang bimbang tentang kemampuan.
Kajian Institut Penyelidikan Khazanah menyatakan bahawa harga rumah di negara ini adalah 4.4 kali lebih tinggi berbanding purata gaji tahunan sebenar rakyat Malaysia.
Menurut Kajian Sentimen Pengguna PropertyGuru H2 2022 (CSS H2 2022), 51 peratus daripada responden berasakan bahawa mereka tidak mampu membeli rumah tanpa bantuan kerajaan, manakala 69 peratus menyatakan rancangan untuk membeli rumah jika Kempen Pemilikan Rumah (HOC) diperkenal semula.
Dalam menghadapi isu kemampuan, HOC telah membantu ramai pembeli rumah kali pertama dan telah berjaya menggalakkan aktiviti ketika kelembapan pasaran hartanah.
Selain kesinambungannya, kita juga melihat bahawa rakyat boleh mendapat manfaat sekiranya HOC dilanjutkan ke pasaran sekunder.
Pada masa yang sama, kita juga berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan untuk mengurangkan atau menghapuskan duti setem bagi hartanah kediaman RM500,000 dan ke bawah untuk semua rakyat Malaysia bagi merangsang pasaran.
Hakikatnya, isu hartanah tidak terjual terus menjadi kebimbangan di Malaysia.
Kajian terbaharu Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) menyatakan, unit hartanah kediaman tidak terjual meningkat kepada 35,592 unit pada suku pertama 2022, berbanding 27,468 unit pada suku pertama 2021.
Yang pasti subsidi tersasar kepada rakyat boleh membantu, kerana bakal pemilik rumah juga akan dapat memanfaatkan lebih banyak skim seperti Skim MyHome yang bertujuan untuk meringankan beban pembeli rumah kali pertama di Malaysia memperoleh rumah kos rendah melalui subsidi kerajaan.
Realitinya, pihak kerajaan harus mengkaji dan meneliti lebih banyak skim yang menawarkan subsidi untuk setiap rumah yang dijual.
Yang pasti, kehidupan di dunia ini agak singkat, pastikan kita ada kediaman idaman, setidak-tidaknya sebelum bersara.
Rumah idaman tidak semestinya besar, atau mewah, memadai selesa, sederhana dan cukup untuk sekeluarga.
Kata orang tua-tua, biarlah rumah kecil, tetapi tiangnya seribu, yakni mampu membahagiakan penghuninya.