BINTULU: Pembinaan rumah panjang baharu, Nyaing Unol, Sungai Segan bukan sekadar menyediakan kediaman yang lebih selesa dan selamat, malah mencerminkan kesinambungan kehidupan, budaya dan semangat kekitaan masyarakat Iban di kawasan Jepak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, rumah panjang kekal sebagai institusi penting dalam kehidupan masyarakat Iban kerana bukan sahaja menjadi tempat tinggal, malah berperanan sebagai pusat penyatuan keluarga dan komuniti.
Beliau berkata, kehidupan di rumah panjang turut menjadi medium untuk memelihara adat, budaya dan nilai kekeluargaan agar terus diwarisi oleh generasi muda.
“Bagi masyarakat Iban, rumah panjang bukan sekadar tempat tinggal, tetapi merupakan lambang pengidup begulai, perpaduan, kekeluargaan dan semangat bekerjasama.
“Di sinilah anak-anak dibesarkan, adat dan budaya diwariskan serta hubungan persaudaraan terus diperkukuhkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis sembahyang tapak rumah panjang baharu, Nyaing Unol, Sungai Segan pada Ahad.
Iskandar berkata, sebagai wakil rakyat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, beliau akan terus memberi perhatian terhadap keperluan masyarakat, termasuk komuniti rumah panjang dan penduduk di kawasan luar bandar.
Menurutnya, penyediaan rumah panjang baharu itu diharap dapat meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan penduduk, selain menyediakan persekitaran kehidupan yang lebih baik untuk penghuni.
“Saya berharap pembinaan rumah panjang baharu ini dapat memberikan keselesaan, keselamatan dan kehidupan yang lebih baik kepada seluruh penghuni serta menjadi warisan untuk generasi akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan tahniah dan penghargaan kepada Tuai Rumah Nyaing anak Unol, barisan JKKK serta seluruh penduduk atas permulaan lembaran baharu berkenaan.
“Semoga segala urusan pembinaan dipermudahkan dan berjalan lancar, serta rumah panjang baharu ini kelak terus menjadi tempat yang menyatukan keluarga dan mengukuhkan semangat kekitaan seluruh komuniti,” katanya.



