MIRI: Dua lelaki warga Indonesia meninggal dunia dalam kejadian kebakaran sebuah berek rumah pekerja ladang sawit di Kampung Telong, Jalan Pesisir Pantai Miri-Bintulu, di sini, petang tadi.
Manakala, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memberitahu dua lagi selamat.

Menurutnya lagi, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah diketuai Rary Binjie dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan sekitar jam 5.55 pagi.
“Setibanya di lokasi, sebuah berek rumah pekerja tidak kekal terbakar 20 peratus di dalam sebuah bilik struktur kontena.

“Susulan kebakaran tersebut, dua lelaki warga asing berusia 30 dan 35 tahun ditemukan meninggal dunia dalam kejadian itu,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, kedua-dua mayat telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Usaha memadam api selesai sepenuhnya jam 6.40 pagi dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dikenal pasti.



