KUCHING: Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF) bakal menganjurkan Rumah Terbuka Gawai Dayak STF bertempat di Rumah Anyie ak Rajit, Matop Betong pada 9 Jun hingga 11 Jun 2023.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, pihaknya menyasarkan seramai 80 penyertaan bagi penganjuran acara tersebut tahun ini.

Katanya, acara tahun ini bakal diadakan di tempat yang menarik selain menawarkan suasana indah kepada pengunjung untuk merasai layanan mesra termasuk warisan budaya daripada masyarakat rumah panjang.
“Ia juga merupakan peluang yang baik untuk pengunjung mempelajari tradisi dan adat yang terdapat di Sarawak serta memberikan peluang untuk mereka memupuk penghayatan lebih mendalam terhadap budaya dan rakyatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Media Rumah Terbuka Gawai Dayak STF di Hotel Telang Usan di sini, hari ini.
Sementara itu kata Gerald, pengunjung akan disajikan dengan sambutan tradisional diketuai Tuai Rumah Anyie ak Rajit iaitu tuai rumah wanita pertama dilantik dalam sejarah terkenal Rumah Matop.
“Ia akan diikuti dengan upacara tradisi Miring, persembahan ngajat selain pengunjung boleh merasai makanan dan minuman tradisional Iban iaitu tuak, ayam pansuh, pulut, daging panggang gaya Rumah Asap dan banyak lagi.
“Mereka juga boleh menonton dan menyertai pelbagai persembahan kebudayaan seperti ngajat diikuti, poco-poco serta perarakan Gawai pada keesokan harinya di pekan Betong.
“Pengunjung juga boleh melihat pameran kraftangan, mempamerkan kemahiran dan kreativiti artis tempatan serta pelbagai makanan dan juadah tempatan turut dihidangkan,” ujarnya.
Selain itu katanya, STF juga bekerjasama dengan Persatuan Agensi Masuk Sarawak (ASIA) untuk mengatur pakej pelancongan khas kepada pengunjung tempatan dan luar negara semasa acara tersebut.
Menurut beliau, ia termasuk lawatan khas ke Kubu Lily Betong serta merasai pengalaman berada di ladang lada Sarawak, mempelajari kraftangan Iban dan sebagainya.