Anggota kumpulan K-pop terkenal, Kim Ryeo-wook atau lebih dikenali sebagai Ryeowook, kembali mewarnai industri muzik menerusi pelancaran single baharu berjudul Runaway, sekali gus menandakan ulang tahun ke-10 perjalanan kerjaya solonya.
Kemunculan semula penyanyi bersuara tenor itu menarik perhatian peminat selepas kali terakhir tampil dengan lagu Lingering pada Disember 2023.
Lebih daripada sekadar lagu baharu, Runaway membawa mesej tentang kepentingan memberi ruang kepada diri sendiri untuk berehat dan memulihkan emosi ketika berdepan tekanan kehidupan moden.
Menurut Ryeowook, lagu tersebut dihasilkan sebagai satu bentuk peringatan bahawa tiada salahnya untuk berhenti seketika sebelum meneruskan perjalanan hidup.
Dalam dunia yang semakin pantas dan penuh tuntutan, beliau berharap Runaway mampu menjadi sumber ketenangan kepada pendengar yang berdepan cabaran harian, sama ada dalam pekerjaan, pelajaran mahupun kehidupan peribadi.
Bagi memastikan mesej lagu itu dapat disampaikan dengan berkesan, Ryeowook mengakui beliau memberi perhatian khusus terhadap setiap aspek penghasilan karya berkenaan.
Penyanyi itu meluangkan masa untuk mendalami maksud lirik, memperhalusi teknik vokal dan menjalani beberapa sesi rakaman semula bagi mencapai hasil yang menepati kehendaknya.
Selain diterbitkan sebagai single digital, Runaway turut dilancarkan dalam bentuk album fizikal yang mengandungi dua lagu sampingan, iaitu Defined dan Chamomile.
Ketiga-tiga lagu tersebut menampilkan warna muzik yang berbeza, namun masih mengekalkan identiti vokal Ryeowook yang menjadi kekuatan utamanya sepanjang kerjaya.
Ryeowook mula dikenali sebagai anggota Super Junior sejak penubuhan kumpulan itu pada 2005 sebelum memulakan kerjaya solo menerusi album mini The Little Prince pada 2016.
Sepanjang sedekad bergelar artis solo, beliau terus membuktikan kemampuannya sebagai penyanyi yang mampu menyampaikan emosi menerusi vokal yang mantap dan penuh penghayatan.
Dengan gabungan melodi yang menenangkan serta mesej yang dekat dengan realiti kehidupan masa ini, Runaway dilihat berpotensi menjadi karya yang mampu menyentuh hati pendengar.
Bagi peminat di Malaysia khususnya, kemunculan semula Ryeowook pastinya menjadi antara pelancaran K-pop yang tidak wajar dilepaskan pada tahun ini.



