KUCHING: Persatuan Tinju Amatur Negeri Sarawak (SABA) terus komited dalam memperkasa pembangunan sukan tinju di Sarawak.
Usaha ke arah itu disifatkan sebagai langkah yang amat tepat dalam memastikan kesinambungan berterusan penyediaan petinju berbakat.
Ia sekali gus dapat menampung keperluan badan induk berkenaan dalam menyedia barisan petinju terbaik untuk menghadapi pelbagai kejohanan pada masa akan datang.

Demikian dinyatakan Presiden SABA, Datuk Rahman Lariwoo ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Pembangunan, Kelab Tinju FVM Kuching malam tadi.
Beliau menyifatkan penubuhan pusat berkenaan sebagai kredit berganda pihaknya dalam merealisasi misi ke arah itu.
Beliau akui, reputasi Sarawak dalam acara sukan tinju terutama pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan pelbagai kejohanan berprestij lain begitu digeruni.
Justeru, kelebihan tersebut perlu dipertahankan.
Lantas, Rahman menyatakan bahawa penubuhan pusat pembangunan tinju berkenaan mampu memberi impak berganda kepada SABA untuk jangka masa panjang.



