KEHIDUPAN manusia tidak pernah sunyi daripada ujian.
Ada kalanya kita diuji dengan kesakitan, kehilangan orang yang disayangi, masalah kewangan, kegagalan dalam pekerjaan atau pelbagai kesulitan yang tidak pernah dijangka.
Namun, sebagai seorang Muslim, kita perlu yakin bahawa setiap musibah yang berlaku tidak pernah sia-sia.
Di sebalik sesuatu yang menyakitkan, terdapat hikmah dan kebaikan yang mungkin belum mampu kita lihat.
Allah SWT mengingatkan kehidupan di dunia sememangnya menjadi medan ujian bagi manusia.
Oleh itu, apabila ditimpa musibah, janganlah kita cepat berputus asa atau menyangka bahawa Allah SWT meninggalkan kita.
Sebaliknya, jadikanlah musibah sebagai ruang untuk mendekatkan diri kepada-Nya.
ALLAH SWT MENGUJI MANUSIA
Ujian merupakan sebahagian daripada sunnatullah dalam kehidupan manusia.
Tiada seorang pun yang terlepas daripada ujian.
Ada yang diuji dengan kesihatan, ada yang diuji dengan keluarga, harta dan pekerjaan, manakala ada pula yang diuji dengan kehilangan sesuatu yang amat dicintai.
Sebagaimana firman Allah SWT: “Dan sungguh, Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan.
Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah: 155)
Namun, ujian tidak semestinya menjadi tanda bahawa Allah SWT membenci seseorang.
Malah, adakalanya musibah menjadi jalan untuk seseorang kembali mengingati Allah SWT setelah sekian lama lalai.
Allah SWT berfirman: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia buruk bagi kamu.
Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
(Surah al-Baqarah: 216) Ayat ini mengajar kita bahawa penilaian manusia amat terbatas.
Sesuatu yang kita anggap sebagai keburukan mungkin sebenarnya membawa kebaikan yang besar.
Kehilangan pekerjaan mungkin membuka pintu rezeki yang lebih baik.
Kegagalan mungkin mendidik kita menjadi lebih matang. Malah, kesakitan yang dialami mungkin menjadi sebab dosa-dosa kita diampunkan.
GANJARAN PAHALA MENANTI
Antara hikmah terbesar di sebalik musibah ialah peluang untuk memperoleh pahala apabila seseorang menghadapinya dengan sabar dan reda.
Sabar bukan bermaksud seseorang tidak boleh menangis atau berasa sedih.
Sebaliknya, sabar bermaksud seseorang tetap menjaga iman, tidak menyalahkan Allah SWT dan terus berusaha menghadapi keadaan dengan cara yang diredai-Nya.
Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang Muslim ditimpa keletihan, penyakit, kesusahan, kesedihan, gangguan, bahkan duri yang menusuknya, melainkan Allah akan menghapuskan sebahagian daripada dosadosanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Betapa luasnya rahmat Allah SWT.
Kesakitan yang kita alami, kesedihan yang kita tanggung dan kesusahan yang kita lalui boleh menjadi sebab dosa-dosa kita diampunkan.
Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh menakjubkan urusan orang Mukmin.
Sesungguhnya semua urusannya baik baginya.
Jika dia mendapat kesenangan, dia bersyukur, maka itu baik baginya.
Jika dia ditimpa kesusahan, dia bersabar, maka itu juga baik baginya.” (Hadis riwayat Muslim)
Oleh itu, seorang Mukmin tidak pernah benar-benar rugi.
Ketika memperoleh nikmat, dia mendapat pahala melalui rasa syukur.
Ketika ditimpa musibah, dia mendapat pahala melalui kesabaran.
Justeru, marilah kita mengubah cara pandang terhadap musibah.
Jangan melihat ujian hanya sebagai sesuatu yang menyakitkan, sebaliknya lihatlah ujian sebagai tarbiah daripada Allah SWT, penghapus dosa dan jalan untuk memperoleh pahala.
Mungkin kita belum memahami hikmahnya pada hari ini, tetapi percayalah bahawa Allah SWT tidak pernah mensia-siakan kesabaran hamba-Nya.
Sesungguhnya, selepas kesusahan pasti ada kemudahan.
Tugas kita bukanlah untuk mengetahui semua hikmah yang tersembunyi, tetapi untuk terus beriman, berdoa, berusaha dan bersabar sehingga Allah SWT membuka jalan keluar yang terbaik.



