KABONG: Pasukan Saberkas Hermanos FC berjaya merangkul gelaran juara Kejohanan Bola Sepak Piala ADUN Kabong, Mohd. Chee Kadir 2023/2024.
Bagaimanapun, pilihan popular itu dipaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Bersepai FC pada aksi final yang berlangsung penuh dramatik.
Penyerang berpengalaman, Nazreen Ismail muncul wira apabila menjaringkan kedua-dua gol pada minit ke-15 dan 77.
Sambil, gol tunggal Bersepai FC dijaringkan oleh Abang Mohd. Eiffwan minit ke-23.
Kejayaan itu menyaksikan barisan pemain Saberkas Hermanos FC membawa pulang wang tunai RM4,000 berserta piala dan pingat.
Sementara itu, wang tunai RM3,000 termasuk piala dan pingat diterima pemain Bersepai FC selaku naib juara.
Dalam pada itu, tempat ketiga milik pasukan KASTOM FC dan membawa pulang wang tunai RM2,000 serta piala serta pingat.
Manakala, pasukan BR SIXTH Sibu FC menduduki tempat keempat dan turut menerima wang tunai RM1,000 termasuk piala dan pingat.
Bintang sensasi Saberkas Hermanos FC, Mohd. Khairul Azman Razak dipilih sebagai penerima Anugerah Pemain Terbaik.
Macclaen Vearrie Jokie Yang daripada pasukan BR SIXTH Sibu FC pula muncul penerima Anugerah Penjaring Terbanyak dengan lapan gol.
Kedua-dua pemain terbabit menerima wang tunai RM200 dan piala. Majlis penyampaian hadiah disempurna sendiri ADUN Kabong, Mohd. Chee Kadir.






