kalsum@suarasarawak.my
Seramai 30 orang pelajar terdiri daripada murid tabika, sekolah rendah dan sekolah menengah menerima manfaat menerusi Program Penyampaian Bantuan Persekolahan “Back To School 2026” anjuran Surau Darul Falah, Semariang Baru Fasa 3, Kuching.
Program berkenaan dianjurkan bersama oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Kejiranan Mesra (KJM).
Inisiatif ini bukan sekadar menyampaikan bantuan berbentuk peralatan persekolahan, sebaliknya menjadi simbol kepedulian bersama dalam memastikan anak-anak daripada golongan asnaf tidak tercicir daripada arus pendidikan hanya kerana kekangan hidup.

Dalam suasana yang sederhana namun sarat dengan nilai kemanusiaan, program ini turut menyatukan pemimpin masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) serta penduduk setempat demi satu matlamat bersama iaitu membina masa depan generasi muda yang lebih cerah dan berdaya saing.
Seiring dengan matlamat tersebut, sumbangan yang disampaikan merangkumi wang tunai, beg sekolah serta pelbagai keperluan asas persekolahan yang diperlukan bagi membantu anak-anak memulakan sesi pembelajaran pada tahun ini.
Wajah ceria anak-anak penerima serta rasa syukur yang dizahirkan oleh ibu bapa jelas menggambarkan betapa besar makna bantuan ini, yang mungkin kelihatan kecil pada mata sesetengah pihak, namun amat bernilai bagi mereka yang benar-benar memerlukan.

Pengerusi Surau Darul Falah, Romanto Omar berkata objektif utama penganjuran Program “Back To School” ini adalah untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan, khususnya anak-anak sekolah agar mereka dapat memulakan sesi persekolahan dengan lebih yakin dan teratur.
“Surau memainkan peranan penting sebagai pusat penyatuan komuniti dan bukan sekadar tempat ibadah semata-mata. Surau Darul Falah sentiasa aktif menganjurkan pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan seperti ziarah orang sakit, kuliah agama, program motivasi serta kerjasama bersama NGO setempat.
“Kesemua inisiatif ini bertujuan menyantuni masyarakat secara menyeluruh serta memperkukuhkan hubungan silaturrahim dalam kalangan penduduk kampung, bantuan seumpama ini memberi suntikan semangat kepada anak-anak untuk terus belajar tanpa rasa rendah diri.” katanya kepada Suara Sarawak.

Mengulas mengenai cabaran penganjuran, beliau mengakui kekangan utama adalah mendapatkan sumbangan dari segi kewangan dan peralatan sekolah. Namun hasil usaha berterusan melalui permohonan bantuan serta sokongan NGO dan individu persendirian, program ini berjaya dilaksanakan dengan jayanya.
Beliau turut mengalu-alukan masyarakat yang ingin menyalurkan sumbangan ke Bank Islam SURAU DARUL FALAH 1101 3010 0230 25 bagi menjayakan program-program surau atau program kebajikan pada masa hadapan.
Menurut beliau lagi, impak program ini amat jelas apabila melihat kegembiraan anak-anak penerima serta rasa syukur yang dizahirkan oleh ibu bapa. Bantuan yang disampaikan bukan sahaja meringankan beban kewangan, malah memberi keyakinan dan harapan baharu kepada keluarga penerima.

Beliau memaklumkan bahawa Program “Back To School” ini telah dilaksanakan secara konsisten saban tahun, dengan penambahbaikan dari semasa ke semasa, termasuk memperluaskan bentuk sumbangan agar lebih menyeluruh dan bermakna.
Sementara itu, Ketua Kaum Semariang Baru Fasa 3, Dahlan Jeraie berkata kejayaan program ini adalah hasil kerjasama erat antara pemimpin masyarakat dan NGO setempat.
“Pemimpin kampung perlu bersatu hati dan bekerjasama tanpa mengira perbezaan demi menjamin kesejahteraan penduduk, lebih-lebih lagi menjelang bulan Ramadan. Semangat perpaduan dan kebersamaan perlu sentiasa dipupuk agar setiap program kebajikan dapat dilaksanakan dengan lancar dan memberi manfaat maksimum kepada masyarakat.
“Saya berharap penganjuran program seperti Back To School ini dapat membawa perubahan positif kepada anak-anak dan generasi akan datang,” katanya.

Menurutnya, pendidikan merupakan asas penting dalam membentuk masa depan keluarga dan komuniti. Program kebajikan pendidikan bukan sahaja membantu secara peralatan, malah menyemai nilai keprihatinan dan semangat saling membantu dalam kalangan penduduk kampung.
Sebagai pesanan kepada generasi muda dan ibu bapa, beliau menyeru agar setiap sumbangan yang diterima dimanfaatkan sebaik mungkin dan dijadikan sebagai dorongan untuk terus berusaha.
“Anak-anak digalakkan supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada bantuan, sebaliknya berusaha dengan tekun, rajin menimba ilmu dan membina masa depan yang lebih baik,” jelasnya.
Beliau mengingatkan bahawa setiap insan diuji dengan keadaan hidup yang berbeza, namun usaha dan kesungguhan adalah kunci kejayaan.
Dalam perkembangan sama, Ketua Ranting merangkap Pengerusi KRT, Arafan Annuar berkata kerjasama antara KRT, surau dan NGO memainkan peranan besar dalam melancarkan pelaksanaan program ini.
“Gabungan sumbangan daripada pertubuhan dan individu perseorangan membolehkan segala keperluan program dipenuhi dengan teratur dan berkesan,” jelasnya .

Beliau menyifatkan sambutan masyarakat terhadap program ini sebagai amat positif dan memberangsangkan. Perkara paling membanggakan adalah melihat reaksi anak-anak dan ibu bapa penerima yang menzahirkan rasa terima kasih serta kesyukuran atas usaha yang dilaksanakan secara konsisten setiap tahun.
Dari segi perancangan masa hadapan, pihak KRT bercadang untuk meneruskan program kebajikan lain seperti Program Sinaran Aidilfitri bagi meraikan anak-anak yatim dan golongan kurang berkemampuan agar mereka dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih bermakna.
Dalam pada itu, Ketua Wanita merangkap Pengerusi KJM, Rokiah Abdullah pula berkata peranan wanita amat signifikan dalam menjayakan program kebajikan pendidikan di kampung.
“Melalui KJM, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk menjemput penceramah motivasi daripada institusi seperti UNIMAS, program ilmiah bersama JAIS serta penganjuran kem motivasi untuk anak-anak di Surau Darul Falah. Usaha ini bertujuan memastikan anak-anak terus bersemangat dalam pembelajaran dan tidak tercicir,” katanya.
Malah, beliau melahirkan rasa syukur melihat sokongan padu masyarakat, khususnya golongan wanita, dalam menjayakan program kebajikan. Kerjasama erat antara penduduk dan NGO menjadi kekuatan utama dalam memacu kejayaan anak-anak kampung.

Selain itu, beliau turut menggalakkan ibu bapa yang kurang berkemampuan agar sentiasa berhubung dengan jawatankuasa kampung supaya bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
“Program kebajikan pendidikan amat penting kerana ada kanak-kanak yang mudah berasa rendah diri apabila berhadapan kekurangan.
Oleh itu, sokongan moral dan bantuan berterusan perlu diberikan agar mereka terus bermotivasi untuk belajar dan membina masa depan yang lebih baik.
“Saya berharap penglibatan wanita dalam aktiviti kemasyarakatan dapat terus diperkukuhkan dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT, kerana setiap kebaikan yang dilakukan pasti membawa manfaat kepada diri, keluarga dan masyarakat keseluruhannya,” jelasnya.
Program Back To School 2026 ini sekali lagi membuktikan apabila komuniti bersatu hati, keprihatinan mampu diterjemahkan menjadi harapan dan sinar baharu buat generasi akan datang.
Menurut salah seorang bapa penerima sumbangan melahirkan rasa syukur dan menjelaskan kos pendidikan yang semakin meningkat menjadi cabaran besar kepada sesetengah keluarga, justeru bantuan seperti ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban ibu bapa.



