KUCHING: Yayasan Brahma Kumaris (BKF) Cawangan Kuching akan menganjurkan sambutan Hari Yoga Antarabangsa Ke-11 anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada Ahad (6 Julai).
Program bertemakan “Yoga Untuk Satu Dunia, Satu Sihat” itu akan dimulakan seawal jam 8 pagi dan dijadual berlangsung sehingga jam 11 pagi dengan pengisian menarik mengenai aktiviti yoga di Dewan Serbaguna Persatuan India Kuching (IAK).
BKF dalam satu kenyataan berkata, aktiviti tersebut berperanan mempromosikan kesihatan holistik dan kesejahteraan serta menyumbang kepada usaha kelestarian di seluruh dunia.
“Yoga bukan sekadar senaman, ia adalah satu amalan menyeluruh – menggabungkan dimensi fizikal, mental dan rohani.
“Kuasa yoga terletak pada kemampuannya untuk meningkatkan kesihatan fizikal melalui peningkatan kelenturan, kekuatan dan kecergasan keseluruhan sekali gus mengurangkan penyakit kronik,” katanya dalan satu kenyataan.
Yoga juga menggalakkan kesedaran diri dan keinsafan yang membolehkan individu berhubung dengan dalaman mereka dan menyemai rasa kedamaian.
Selain yoga, pihak penganjur turut menyediakan dispenser air, pameran pemeriksaan kesihatan, meditasi, ujian indeks kebahagiaan.
Turut menarik perhatian, persembahan daripada Kelab Wushu Elit Kuching dan Persatuan Gimnastik Amatur Negeri Sarawak.


