ARTIKEL

Sampah di lebuh raya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

LEBUH Raya Pan Borneo Sarawak sepatutnya menjadi lambang kemajuan. Lebuh raya sepanjang 1,076 kilometer ini menghubungkan bandar dengan bandar dan terus ke luar bandar.

Selain memendekkan masa perjalanan, lebuh raya ini juga membuka peluang ekonomi kepada masyarakat di sepanjang lebuh raya ini.

Di Sarawak dan Sabah, projek besar seperti Lebuh Raya Pan Borneo sering disebut sebagai nadi pembangunan yang menghubungkan dua negeri ini dengan jaringan jalan raya yang lebih moden dan selesa.

Namun di sebalik kemegahan lebuh raya ini, ada satu pemandangan yang mungkin sedikit membimbangkan iaitu sampah.

Sesiapa yang pernah memandu di Lebuh Raya Pan Borneo ini, pasti pernah melihat botol plastik, bungkusan makanan, plastik minuman, bahkan beg sampah yang dibuang ke bahu jalan. Ia bukan satu atau dua.

Kadang-kadang ia berlonggok di kawasan tertentu, seolah-olah bahu lebuh raya menjadi tempat pembuangan yang sah.

Persoalannya, mengapa perkara ini masih berlaku? Hakikatnya, masalah membuang sampah dari dalam kenderaan bukan isu baru. Ia sudah lama berlaku di jalan raya di negara ini.

Bezanya sekarang, apabila lebuh raya semakin panjang dan trafik semakin meningkat, masalah itu menjadi lebih ketara. Ramai pemandu dan penumpang mengambil jalan mudah.

Selesai makan atau minum di dalam kereta, plastik atau botol terus dilempar keluar tingkap. Ada juga yang berhenti di bahu jalan untuk berehat sebentar, kemudian meninggalkan sampah sebelum menyambung semula perjalanan.

Mungkin bagi mereka, ini perkara kecil.

Namun apabila ratusan atau ribuan pemandu dan penumpang melakukan perkara sama setiap hari, kesannya akan menjadi besar.

Sampah yang dibuang bukan sekadar mencacat pemandangan, malah boleh menyumbat longkang dan sistem saliran di tepi jalan.

Ketika hujan lebat, air yang tidak dapat mengalir dengan lancar akan menyebabkan air bertakung di permukaan jalan.

Lebih membimbangkan, sampah ringan seperti plastik boleh diterbangkan ke tengah jalan akibat angin dari kenderaan yang dipandu laju. Ini boleh mengejutkan pemandu lain, yang berpotensi menyebabkan kemalangan.

Penguatkuasaan

Sebab itu, pihak berkuasa tempatan kini mula mengambil tindakan lebih tegas terhadap mereka yang membuang sampah di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo.

Memetik Bernama, seperti ditegaskan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan, individu yang dikesan membuang sampah di sepanjang jajaran Lebuh Raya Pan Borneo boleh dikenakan tindakan mengikut Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan 1996 di lokasi terlibat.

Menurutnya, masalah sampah sarap di lebuh raya berpunca daripada sikap segelintir pengguna jalan raya yang membuang sampah dari dalam kenderaan secara tidak bertanggungjawab.

“Kenderaan berat khususnya lori yang berhenti di kawasan pusingan P, perhentian bas dan bahu jalan bagi tujuan berehat dan makan, meninggalkan sisa makanan dan sampah di lokasi berkenaan.

“Peningkatan jumlah trafik di kawasan tertentu turut menyumbang kepada keadaan ini,” katanya.

Tindakan undang-undang itu penting, tetapi hakikatnya, penguatkuasaan sahaja tidak memadai jika sikap masyarakat tidak berubah. Isu ini akan menjadi lebih ketara setiap kali musim perayaan.

Menjelang Aidilfitri minggu depan, ribuan kenderaan akan menggunakan Lebuh Raya Pan Borneo untuk pulang ke kampung.

Dari bandar ke pekan kecil dan ke kawasan pedalaman, lebuh raya ini menjadi laluan utama orang ramai yang mahu berhari raya bersama-sama keluarga.

Perjalanan yang panjang akan membuatkan ramai yang akan berhenti di tepi jalan untuk berehat, makan atau minum. Tidak semua kawasan mempunyai kemudahan hentian rehat yang lengkap.

Dalam keadaan begitu, disiplin pengguna jalan raya menjadi sangat penting. Malangnya, setiap kali musim untuk balik kampung, masalah sampah di bahu lebuh raya sering meningkat.

Selepas musim perayaan, kontraktor pembersihan biasanya terpaksa bekerja lebih keras. Banyak sampah dikutip.

Ada kawasan yang kelihatan seperti baru selesai satu acara besar, walaupun sebenarnya ia hanya laluan perjalanan orang ramai pulang beraya. Situasi ini amat menyedihkan.

Kita bercakap tentang projek infrastruktur bernilai berbilionbilion ringgit yang menjadi kebanggaan negara.

Namun dalam masa yang sama, kita masih berdepan dengan sikap segelintir pengguna jalan raya yang memperlakukan lebuh raya seperti tong sampah bergerak. Lebuh raya bukan sekadar laluan kenderaan.

Ia juga wajah kepada kawasan yang dilaluinya. Pelawat dari luar, pelabur atau pelancong yang memandu melalui jalan itu akan melihat keadaan sekeliling.

Jika bahu jalan dipenuhi sampah, gambaran yang terhasil bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, tetapi juga mencerminkan tahap kesedaran masyarakat terhadap kebersihan.

Penyelesaian

Sebenarnya penyelesaian kepada masalah ini tidak rumit. Pertama, disiplinkan diri.

Simpan sementara sampah di dalam beg plastik kecil sehingga kita sampai ke tempat yang mempunyai tong sampah. Kedua, pendidikan. Kesedaran tentang menjaga kebersihan perlu bermula dari rumah dan sekolah.

Jika sejak kecil seseorang diajar bahawa membuang sampah dari tingkap kereta adalah perbuatan memalukan, kebiasaan itu tidak akan terbawa hingga dewasa.

Ketiga, penguatkuasaan yang konsisten. Kompaun dan tindakan undang-undang perlu dilaksanakan tanpa kompromi.

Apabila mengetahui kita boleh dikenakan denda, kita pasti akan lebih berhati-hati. Namun yang paling penting ialah sikap dan tanggungjawab bersama. Mungkin ‘CCTV bergerak’ boleh diaktifkan.

Maksud di sini, mana-mana rakaman kamera papan pemuka (dashcam) di dalam kenderaan yang merakam sikap pemandu atau penumpang membuang sampah merata-rata boleh dikongsikan kepada pihak berkuasa.

Dan, dengan adanya rakaman video ini, mungkin mudah untuk pihak berwajib membuat tindakan penguatkuasaan.

Lebuh raya ini dibina menggunakan wang rakyat untuk kemudahan semua. Jadi, menjaga kemudahan ini juga sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama.

Apabila balik ke kampung tiba kelak, dan ribuan kenderaan kembali memenuhi Lebuh Raya Pan Borneo, kita berharap satu perkara mudah dapat diingati oleh semua pengguna jalan raya.

Bawalah pulang kenangan perjalanan bersama-sama keluarga, bukan meninggalkan sampah di sepanjang jalan. 

BERITA LAIN

Pemain bintang dunia warnai bola sepak S’wak

KEHADIRAN bekas bintang kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, Asier Illarramendi, bersama kelab Hong Kong, Kitchee SC ke Kuching cukup mengujakan ribuan peminat bola sepak di

Menyelamat ingatan, menjejak ilmu dan sejarah

SEJARAH bukan sekadar kisah masa lalu. Ia adalah bukti tentang siapa kita, bagaimana keputusan dibuat dan mengapa sesuatu peristiwa berlaku. Namun, sejarah boleh hilang apabila

BERITA TERBARU

RM545 juta perkukuh Internet di Sarawak

KUCHING: Sebanyak RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan fasa pertama Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak, melibatkan hampir 350 lokasi di seluruh negeri. Menteri Komunikasi