ARTIKEL

Sampah berselerak di kawasan berumput di Pusingan-P, Batu 18, Lebuhraya Pan Borneo laluan Bintulu-Miri.

Sampah masih bersepah di Pan Borneo Bintulu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Masalah pembuangan sampah oleh segelintir pengguna jalan raya masih berlaku di beberapa lokasi sepanjang Lebuhraya Pan Borneo di sekitar Bintulu, meskipun Kempen Jum Jaga Pan Borneo Bait-Bait dilancarkan lebih setahun lalu.

Tinjauan di kawasan Pusingan-P, Batu 18 bagi laluan Bintulu-Miri mendapati pelbagai jenis sampah seperti botol plastik, bekas makanan, bungkusan minuman dan sisa domestik masih dibuang di bahu jalan serta kawasan persinggahan.

Keadaan itu menunjukkan usaha meningkatkan kesedaran awam mengenai kebersihan lebuh raya masih berdepan cabaran, terutama dalam mengubah sikap segelintir pengguna yang mengabaikan tanggungjawab menjaga kemudahan awam.

Kempen berkenaan dilancarkan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada 18 Ogos 2025 di Bintulu bagi memupuk kesedaran bahawa kebersihan Lebuhraya Pan Borneo memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak.

Namun, keadaan di lapangan menunjukkan kempen kesedaran perlu disusuli perubahan sikap pengguna kerana kerja pembersihan secara berkala tidak akan menyelesaikan masalah sekiranya amalan membuang sampah merata-rata terus berlaku.

Selain mencacatkan pemandangan, sampah yang dibuang di bahu jalan dan kawasan saliran turut berpotensi menjejaskan alam sekitar serta mengurangkan keselesaan pengguna lebuh raya.

Seorang pengguna, Pendi Bohari berkata, keadaan itu amat mengecewakan kerana setiap individu perlu mempunyai kesedaran untuk menjaga kemudahan awam yang digunakan bersama.

“Kalau kita sudah tahu sampah boleh mencemarkan alam sekitar dan mencacatkan pemandangan, simpan dahulu sampah dalam kenderaan sebelum membuangnya di tempat yang disediakan.

“Tidak susah untuk menjaga kebersihan kerana sampah yang dibuang dari kenderaan akhirnya akan dikutip oleh pekerja yang terpaksa bekerja keras membersihkannya,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna, Surayati Suhaidi berpendapat kempen kesedaran seperti Jum Jaga Pan Borneo Bait-Bait perlu diteruskan secara konsisten, selain disokong penguatkuasaan lebih tegas terhadap individu yang melakukan kesalahan.

Pendi Bohari.

Katanya, kempen semata-mata tidak mencukupi sekiranya masih ada pengguna menganggap bahu jalan atau kawasan persinggahan sebagai lokasi mudah untuk membuang sampah.

“Kesedaran perlu datang daripada diri sendiri. Kita tidak sepatutnya menunggu ada penguat kuasa atau kamera sebelum mahu menjaga kebersihan.

“Kalau setiap pengguna mengambil sedikit tanggungjawab, keadaan lebuh raya ini pasti lebih bersih,” ujarnya.

Bagi pengguna, Lebuhraya Pan Borneo bukan sekadar laluan penghubung antara kawasan dan komuniti, tetapi aset awam yang perlu dipelihara bersama.

Justeru, usaha meningkatkan kesedaran perlu diteruskan dengan penekanan terhadap perubahan tingkah laku, termasuk membudayakan amalan menyimpan sampah di dalam kenderaan sehingga menemui tempat pembuangan yang sesuai.

Lebuh raya yang bersih bukan sahaja mencerminkan keindahan persekitaran, malah menggambarkan tahap kesedaran dan tanggungjawab masyarakat dalam menjaga kemudahan awam.

Surayati Suhaidi.

BERITA LAIN

ICQS Biawak: Kajian siap hujung tahun ini

KUCHING: Cadangan menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak masih dalam penelitian menerusi kajian kemungkinan Pelan Induk Pembangunan Kawasan Sempadan Sarawak. Menteri

BERITA TERBARU

Projek Ngaga SMK Balingian meseti dirumban

KUCHING: Projek ngaga Sekula Sekondari (SMK) Balingian ti dikategori projek tejanggal enda tau enda diberi perati sereta dirumban dikena nentuka perengkaguna pelajar ulih tembu menyana.