BINTANG terkenal Amerika Syarikat, Sarah Jessica Parker, 60, mendedahkan sebab beliau memilih untuk tidak lantang bersuara tentang politik di media sosial.
Dalam satu wawancara bersama Nicolle Wallace menerusi podcast The Best People di MSNBC, Parker menjelaskan bahawa platform seperti itu sering kali gagal menyampaikan mesej dengan tepat dan penuh makna.
Menurut pelakon And Just Like That itu, ramai tokoh besar termasuk bekas Presiden Amerika Syarikat, Franklin D. Roosevelt (FDR), berjaya tanpa sebarang bantuan media sosial.
“FDR pun terpilih jadi presiden tanpa Instagram,” ujarnya sambil menekankan bahawa ahli politik dahulu mampu menyampaikan mesej tanpa bergantung kepada platform digital.
Parker turut menegaskan bahawa tidak bersuara secara terbuka di media sosial tidak bermaksud beliau tidak peduli.
Sebaliknya, beliau tetap peka dan aktif dengan cara yang lebih peribadi serta berhati-hati. Baginya, isu-isu penting memerlukan renungan yang lebih mendalam dan bukan sekadar reaksi spontan di ruang maya.
“Saya rasa ada perkara yang terlalu penting untuk disederhanakan atau ditangani secara tergesa-gesa di media sosial,” katanya lagi.
Parker juga mengakui bahawa beliau bimbang pendapatnya akan disalah tafsir dan akhirnya menjejaskan perkara yang dekat di hatinya.
“Saya tak mahu menyakiti sesuatu yang sangat saya pedulikan,” ujarnya menutup perbualan.



