KUCHING: Kuching bakal menjadi tumpuan komuniti teknologi antarabangsa apabila Sarawak dipilih menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Perikatan Inovasi, Teknologi dan Perkhidmatan AI Global (WITSA) 2027 bersempena dengan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) ke-10 tahun hadapan.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sidang kemuncak berkenaan akan menghimpunkan pemimpin daripada industri teknologi, kerajaan dan ekosistem inovasi dari seluruh dunia.
“Sidang Kemuncak WITSA yang kedua ini akan memperkukuh kerjasama Sarawak dengan WITSA melalui Rangkaian Ekosistem AI Global miliknya, dengan menghubungkan ekosistem AI kita yang sedang berkembang dengan rakan antarabangsa dalam bidang teknologi, pelaburan, penyelidikan dan dasar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak ke-9 (IDECS 2026) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Menjelaskan perkara itu dengan lebih lanjut, Abang Johari berkata acara berkenaan juga akan membawa platform antarabangsa ke Sarawak, termasuk Anugerah AI Global WITSA, Piala Dunia WITSA kedua bagi Trofi Cabaran Zohari serta pelancaran Indeks AI Global WITSA kedua.
“Indeks tersebut akan menyediakan kepada kerajaan dan industri gambaran terkini berasaskan bukti mengenai pembangunan ekosistem AI merangkumi infrastruktur, bakat, keusahawanan, kes penggunaan, data, dasar dan pelaburan di seluruh dunia,” katanya.
Justeru, Abang Johari menegaskan bahawa persiapan menghadapi masa hadapan memerlukan lebih daripada sekadar dasar atau projek secara berasingan.
Menurutnya, ia menuntut kewujudan platform yang menghimpunkan individu, idea dan institusi yang diperlukan dengan IDECS 2026 berupaya memenuhi matlamat berkenaan.
Beliau turut menyifatkan sejak penubuhannya, IDECS telah menghubungkan pihak kerajaan, industri, universiti, penyelidik, usahawan dan rakan antarabangsa, di samping membantu Sarawak memahami serta bertindak balas terhadap perubahan teknologi.
Sehubungan itu, Abang Johari berkata empat bidang utama yang diberi penekanan pada IDECS 2026 merangkumi kecerdasan buatan, inovasi semikonduktor, pembangunan bakat digital dan ekonomi angkasa menunjukkan betapa bidang terbabit saling berkaitan dalam menjana peluang baharu.
“IDECS menyediakan ruang bagi hubungan ini berkembang menjadi perkongsian, idea dan peluang yang boleh menyumbang kepada transformasi ekonomi Sarawak,” katanya.






