KUCHING: Sarawak bersedia untuk menjadi tuan rumah bagi persidangan media antarabangsa pada masa hadapan dan bekerjasama dengan organisasi media demi memperkukuh bidang kewartawanan serta perkongsian ilmu secara profesional.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan peluang untuk menghimpunkan pengamal media tempatan dan antarabangsa bagi bertukar-tukar pengalaman, kepakaran serta amalan terbaik.
Beliau berkata kolaborasi sedemikian akan mewujudkan platform untuk perbincangan bermakna berkaitan isu yang memberi kesan kepada bidang kewartawanan serta membolehkan pengamal media belajar daripada perspektif global.
“Jika anda mahu, kita boleh berkongsi bersama dan bekerjasama demi kewartawanan yang baik.
“Kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan anda. Jika anda mahu membawa masuk tokoh-tokoh antarabangsa untuk berkongsi ilmu, pengalaman, liputan serta kebijaksanaan mereka, dan jika anda memilih Sarawak sebagai lokasi acara, pada bila-bila masa sahaja, Sarawak bersedia untuk menjadi tuan rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2026 bertemakan “Media, Kepercayaan dan Tadbir Urus Dalam Dunia Digital Yang Berkembang Pesat”, di sebuah hotel di sini hari ini.
Terdahulu, Abang Johari mengalu-alukan kehadiran para delegasi dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, serta menzahirkan harapan agar persidangan tersebut dapat menghasilkan idea-idea baharu untuk memperkasa peranan media dan menyumbang kepada masyarakat di tengah-tengah perubahan global yang rancak.
Beliau berkata Kerajaan Sarawak terus memberikan hala tuju dan sokongan kepada pihak media bagi membantu mereka menjadi antara yang terbaik di dunia.
“Apa yang boleh saya katakan kepada anda ialah selagi ekonomi Sarawak berada dalam keadaan baik, kita akan berkongsi perkara itu dengan anda, pihak media,” katanya.



